Paling Popular
Terkini

PAS komited untuk melihat golongan ulama terus berada dalam saf kepimpinan kerajaan negeri Kelantan.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata ia selari dengan usaha kerajaan negeri dalam melahirkan lebih ramai golongan hafiz dan hafizah di kalangan rakyat Kelantan.

Oleh yang demikian, menurut Menteri Besar Kelantan itu kerajaan negeri akan memperbanyakkan sekolah aliran tahfiz di Kelantan dengan penambahan sekolah baru setiap tahun.

"Sehingga hari ini sebanyak sembilan sekolah tahfiz diwujudkan di negeri Kelantan yang diurus di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan jumlah 2,685 pelajar.

“Tahun ini kerajaan negeri membuka Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah untuk pelajar perempuan di Beta Hulu, Kota Bharu,” kata beliau pada majlis Graduasi Tahfiz Yik Ke-8 2017 di Kota Bharu, hari ini.

Pengiktirafan anugerah Allah

Pada majlis berkenaan seramai 347 pelajar dari tujuh maahad tahfiz dirai dan diiktiraf selepas berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran tahun lalu.

Ahmad turut berkata, pengiktirafan tersebut hakikatnya merupakan anugerah Allah serta kelahiran hafiz dan hafizah dari negeri Kelantan patut menjadi kebanggaan.

"Mereka merupakan aset besar dan kredit pada ibu bapa, Allah angkat martabat orang yang menghafal dan amalkan al-Quran.

"Kerajaan negeri berhasrat untuk menambahkan sekolah tahfiz untuk melihat lebih ramai generasi dapat menguasai al-Quran dan bahasa Arab.

"Selain itu, generasi kepimpinan ulama penting untuk berada dalam saf sekarang. Kita mahu Kelantan kekal begitu," katanya.

Manakala itu, Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fazdli Hassan berkata, kerajaan negeri mahu barisan kepimpinan di negeri itu diisi oleh individu yang mempunyai jiwa agama.

"Ia tidak semestinya berlatar belakang pendidikan tahfiz, tetapi berjiwa agama.

"Tak kiralah daripada apa juga bidang akademik atau sekolah biasa, yang penting berjiwa agama. Kalau mereka ini dari sekolah tahfiz itu bonus," jelasnya.


 

Lihat Komen
ADS