Datuk Seri Shahidan Kassim enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan isteri aktivis Amri Che Mat yang percaya kehilangan suaminya ada kaitan dengan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

“Saya enggan komen kerana saya tidak kenal lelaki itu dan isterinya,” kata Shahidan kepada The Malaysian Insight.

Semalam Norhayati Ariffin dalam keterangan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakan) percaya kehilangan suaminya ada kaitan dengan Shahidan dan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Siasatan awam itu dijalankan bagi menentukan sama ada kes kehilangan Amri adalah kes kehilangan paksaan yang dilakukan pihak berkuasa.

Dalam siasatan semalam, Norhayati memberitahu Suhakam bahawa Shahidan dan Mohd Asri sering mengecam badan amal suaminya, Perlis Hope.

Amri kali terakhir dilihat isteri dan keluarganya pada 24 November, 2016.

Norhayati berkata pada 2015, kira-kira 20 pegawai daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis termasuk Asri dan polis datang menaiki 10 kereta menyerbu rumah mereka.

Sementara itu, Asri dalam laman Facebooknya semalam berkata beliau akan memberi penjelasan berhubung pertubuhan Perlis Hope selepas namanya dikaitkan dalam siasatan awam Suhakam.

Mohd Asri berkata, pertubuhan itu mungkin berpendapat beliau memang "tidak berpuas hati" dengan mereka sejak awal lagi dan seaka-akan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) tidak melaksanakan tugas sepatutnya.

"Perlis Hope merasakan saya sejak awal lagi tidak puas hati dengan aktiviti kebajikan mereka kerana seakan menunjukkan MAIPs tidak berkerja. Benarkah begitu?" soalnya.