Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes 'bin Abdullah': Mahkamah tolak permohonan ibu bapa

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan oleh 20 pasangan dan seorang ibu tunggal untuk dinamakan sebagai pihak dalam rayuan berhubung sama ada seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf boleh dibinkan dengan nama bapanya dan bukan berbinkan ‘Abdullah’.

Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim bagaimanapun memberitahu peguam Azhar Azizan Harun yang mewakili pasangan dan ibu tunggal itu, bahawa beliau boleh hadir sebagai amicus curiae (rakan mahkamah) dan berhujah dalam prosiding rayuan.

Beliau kemudian mengarahkan Azhar supaya membuat permohonan untuk beliau hadir sebagai amicus curiae dalam pendengaran rayuan pada 7 Feb, tahun ini.

"Peguam dikehendaki memohon untuk hadir sebagai amicus curiae semasa prosiding," kata Hakim Raus selepas menolak permohonan pencelah yang dikemukakan oleh pasangan dan ibu tunggal itu, yang mahu dinamakan sebagai pihak-pihak dalam rayuan itu.

Bersidang bersama beliau ialah Hakim-Hakim Mahkamah Pesekutuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Datuk Balia Yusof Wahi, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Terdahulu, Azhar memberitahu mahkamah anak guamnya, yang merupakan ibu bapa anak yang dianggap tidak sah taraf dan tidak dibenarkan untuk berbinkan bapanya dalam sijil kelahiran, mahu memohon untuk mencelah dalam rayuan itu.

Hakim Raus bagaimanapun berkata dalam permohonan semakan kehakiman, seseorang itu perlu memenuhi prosedur tertentu sebelum permohonan mereka boleh didengar, dan menambah, dengan memohon untuk menjadi pencelah adalah "melompat terus" ke Mahkamah Persekutuan.

Azhar berkata anak buahnya tidak tahu tentang kewujudan kes itu apabila ia difailkan di Mahkamah Tinggi dan hanya tahu mengenainya apabila perkara itu di peringkat Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar pada 7 Feb rayuan yang dikemukakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarahnya, dan kerajaan Malaysia, yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf boleh dibinkan dengan nama bapanya dan bukannya ‘Abdullah’.

Pada 8 Sept tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan JPN dan dua pihak lagi kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dengan mengemukakan tiga persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan, dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada 25 Julai tahun lepas, menegaskan bahawa ketua pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Mazlifah Ayob mewakili JPN, ketua pengarahnya, dan kerajaan.

Di luar mahkamah, Azhar memberitahu pemberita beliau berhasrat memohon sebagai amicus curiae.

Beliau menjelaskan jika pemohon dibenarkan untuk mencelah dalam rayuan itu, mereka akan dinamakan sebagai pihak, tetapi sebagai amicus curiae, mereka bukanlah pihak. -Bernama

Lihat Komen
ADS