Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pelaburan dan langkah-langkah yang dirancang untuk meningkatkan kehadiran mereka yang diambil oleh syarikat multinasional mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap Malaysia sejak setahun lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata institusi seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan banyak badan global terkemuka lain memuji pengurusan berhemat kerajaan dalam mengendalikan ekonomi.

"Mereka mengiktiraf daya tahan dan daya saingnya (Malaysia) telah dibina, untuk kebaikan rakyat Malaysia," katanya pada majlis pelancaran jongkong emas Demi Idaman Sdn Bhd di Kuala Lumpur hari ini oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata syarikat antarabangsa dan modal asing memasuki negara ini pada kadar yang tidak dilihat sebelum ini.

"Saudi Aramco, syarikat minyak terbesar di dunia dan HSBC, satu daripada bank terbesar di dunia, merupakan antara syarikat utama yang mengumumkan hasrat mereka untuk melabur di negara ini sepanjang tahun lalu.

"Dan banyak lagi syarikat multinasional yang mengikut jejak langkah, melabur dan membuka operasi mereka di Malaysia," kata Najib pada majlis itu yang turut dihadiri Pengerusi Demi Idaman, Datuk Salehuddin Saidin.

Perdana Menteri berkata dengan pembangunan berterusan industri dalam sempadan Malaysia sendiri, kerajaan akan terus menyediakan kepada rakyat kehidupan yang lebih baik dan memuaskan dalam tahun-tahun akan datang.

Menurutnya lagi, pelancaran produk jongkong emas itu merupakan satu kejayaan penting bagi Demi Idaman serta industri emas negara secara keseluruhannya.

"Sememangnya, ia merupakan cerminan inovasi dan kemajuan yang menjadi ciri unik Malaysia sepanjang dekad lalu,” kata Najib, yang melancarkan syiling emas khas Sultan Selangor pada majlis itu.

Najib berkata meskipun harga emas mungkin turun naik, keyakinan individu, institusi kewangan, bank pusat dan malahan kerajaan terhadap logam kuning itu tidak dijangka berkurangan dalam tempoh terdekat ini.

"Itulah sebabnya mengapa penting untuk kita terus menggalakkan pertumbuhan industri itu di Malaysia,” katanya.

Menurut Najib, dengan pembangunan kilang penapisan emas komersial pertama, Malaysia kini memiliki keupayaan untuk memproses emas – daripada fasa peleburan ke penapisan.

"Justeru itu, saya menghargai jasa Demi Idaman yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri ini di negara ini.

"Usaha-usaha mereka banyak disokong oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, yang, sebagai sebahagian daripada Program KL Gold 2014 yang saya telah lancarkan dengan bangganya, memainkan peranan penting dalam memacu penyertaan orang Islam dan pemerkasaan dalam industri emas,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS