Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Empat wanita termasuk seorang ibu berusia 53 tahun ditangkap kerana cuba menghalang polis menangkap anggota keluarganya yang dikehendaki polis kerana disyaki mengedar dadah di Felda Selasih di Besut petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata seorang daripada wanita yang ditangkap itu juga telah menggigit tangan kanan seorang anggota polis hingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Besut.

Mohd Zamri berkata sebelum itu kejadian itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah (BSJND) IPD Besut telah membuat serbuan di belakang sebuah rumah di Felda Selasih pukul 2 petang semalam untuk menahan dua lelaki berkaitan dadah.

“Apabila serbuan dilakukan kedua-dua lelaki berkenaan berumur 22 dan 29 tahun telah melarikan diri tetapi salah seorang daripadanya berjaya ditangkap," katanya kepada pemberita di Besut hari ini.

Katanya, polis menjumpai sejumlah pil kuda di dalam beg yang dipakai di pinggang suspek berumur 22 tahun dan tujuh botol plastik lutsinar dipercayai dadah heroin di kawasan kedua-dua suspek bertemu.

Selain itu turut ditemukan sebuah beg yang mengandungi kad pengenalan dan lessen memandu serta satu botol kecil berisi cecair disyaki dadah.

Mohd Zamri berkata ekoran penemuan beberapa barang yang ditinggalkan itu, polis menggerakkan operasi bagi mengesan seorang lagi lelaki yang terlepas hingga akhirnya berjaya menahannya lima jam kemudian di Kampung Raja.

“Semasa tangkapan dilakukan ke atas suspek kedua inilah menyebabkan keempat-empat wanita yang merupakan ibu dan adik-beradik suspek mengamuk hingga menyemburkan kata-kata kesat dan maki hamun terhadap anggota polis yang bertugas," ujarnya.

Ekoran tangkapan itu polis juga merampas tiga buah kereta jenis Isuzu Pick-Up, Honda Civic dan Proton Wira serta dua motosikal jenis Yamaha Lagenda dan Honda EX5 di samping wang daripada kedua-dua suspek berjumlah RM600.

Mereka ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala keempat-empat wanita berumur 22 hingga 53 tahun itu pula ditahan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas. -Bernama

Lihat Komen
ADS