Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Henti serah surat tawaran MRSM oleh wakil Umno'
Diterbitkan:  Jan 23, 2018 6:10 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) supaya menghentikan amalan mewajipkan ibu bapa dan pelajar yang layak supaya menghadiri majlis menerima surat tawaran kemasukan di pejabat-pejabat Umno di seluruh negara.

“Saya meminta supaya pihak MARA menghentikan dengan segera majlis yang membuang masa dan wang rakyat ini kerana surat tawaran boleh sahaja dihantar melalui pos atau dimuat turun melalui laman web, tanpa menganjurkan majlis khusus yang melibatkan pimpinan Umno bahagian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Rafizi berkata beliau menerima keluhan dan aduan dari ibu bapa yang tidak berpuas hati apabila mereka diarah untuk hadir ke majlis-majlis menerima surat tawaran kemasukan MRSM di pejabat-pejabat Umno.

Sebagai contoh, katanya, satu majlis diadakan hari ini di Dewan Umno Bera yang dihadiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain di Bera, Ahli Parlimen Pandan itu berkata majlis-majlis yang sama juga diadakan oleh Umno Sungai Petani dan Umno Kepala Batas.

Rafizi berkata penganjuran majlis seumpama itu juga satu bentuk penyalahgunaan oleh MARA untuk tujuan politik.

“Penganjurannya membuang dana rakyat dan masa kakitangan MARA yang sepatutnya menumpukan dana dan tenaga untuk membantu banyak lagi penuntut-penuntut MARA serta kakitangan MARA yang terkesan dari pemotongan peruntukan kepada MARA,” katanya.

Beliau juga menggesa Ismail Sabri untuk menjelaskan berapa banyak dana yang dibelanjakan MARA untuk majlis berkenaan.

Lihat Komen
ADS