Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM tahan perunding syarikat terlibat projek terowong dasar laut

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang wanita yang merupakan perunding kejuruteraan bagi membantu siasatan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Menurut sumber, suspek berusia 50 tahun itu ditahan pada 6.10 petang ketika hadir memberi kenyataan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

"Difahamkan, wanita itu merupakan perunding kanan sebuah syarikat yang bertanggungjawab ke atas projek tersebut.

"Beliau dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong di Pulau Pinang yang bernilai kira-kira RM305 juta kepada kerajaan negeri," kata sumber itu.

Beliau berkata SPRM juga sedang menyiasat sama ada individu lain turut terlibat bersubahat dalam pemalsuan dokumen itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita itu namun enggan mengulas lanjut.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Pada 19 Jan, dua pemimpin syarikat bergelar “Datuk” yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang dibebaskan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS