Paling Popular
Terkini
story images
story images

KOMENTAR | Misi tercapai - kami akhirnya memperoleh dana RM350,000 yang diperlukan.

Sasaran itu kami capai semalam - 12 hari selepas Tabung Pembelaan Malaysiakini ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Jan lalu mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan itu memberi kesan besar kepada Malaysiakini apabila portal ini diperintah membayar ganti rugi RM200,000 dan RM150,000 lagi kos guaman kepada syarikat Raub Australian Gold Mine (RAGM) ekoran tiga artikel serta dua video klip berkaitan kebimbangan penduduk Bukit Koman di Raub, Pahang.

Untuk mendapatkan jumlah sebesar itu dalam tempoh dua minggu sesunguhnya satu pencapaian yang membanggakan. Namun ia tidak mungkin berjaya tanpa ANDA.

Setinggi-tinggih penghargaan buat semua yang terlibat dalam usaha ini.

Sesetengah anda mungkin bertanya - mengapa kami perlu meminta kepada orang ramai untuk mengumpulkan dana ini. Ini sebabnya:

Perbelanjaan Malaysiakini ialah RM6.5 juta setahun. Ia membabitkan pembiayaan operasi empat daripada laman sesawang berita utama di negara ini yang menyiarkan laporan dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu, bahasa Cina serta KiniTV.

Selain itu kami juga menyediakan perkhidmatan maklumat kepada 4.3 juta pengikut di Facebook dan 1.3 juta di Twitter.

Selain wartawan dan pengarang kami juga memiliki pasukan eksekutif pengiklanan di bawah syarikat FG Media. Itu tidak termasuk pasukan menguruskan hal ehwal teknologi, serta tidak dilupakan, jabatan khidmat langganan serta pentadbiran.

Sasaran kami setiap tahun kewangan adalah mudah - memastikan kami mempunyai sumber bagi membiayai semua perbelanjaan yang diperlukan. Dan kami melakukannya saban tahun sejak 18 tahun lalu.

Memang benar perjalanan itu ada naik turunnya. Pada tahun-tahun yang melegakan kami melaburkan semula keuntungan yang diperolehi ke dalam syarikat. Sebaliknya pada waktu sukar, kami mengikat perut.

Langganan lebih stabil

Pendapatan utama kami datang daripada pengiklan dan pelanggan. Bagaimanapun seperti dialami kebanyakan portal berita dalam talian, mendapatkan wang daripada pengiklanan sangat mencabar.

Ketika aktiviti pengiklanan dalam talian meningkat, pihak yang paling mendapat faedah daripadanya bukanlah penyedia kandungan berita. Ada banyak syarikat teknologi besar - contohnya - seperti Google, Facebook, Yahoo, Microsoft dan Twitter.

Syarikat enjin carian saja menguasai hampir 50 peratus pasaran berkenaan.

Laman sesawang seperti Malaysiakini bukan saja perlu bersaing mendapatkan iklan dengan jenama tempatan sebaliknya turut berdepan dengan syarikat besar seperti Google.

Lebih daripada itu pengiklanan dalam talian tidak membawa wang seperti pernah dinikmati media cetak dan penyiaran suatu ketika dulu.

Media lama mungkin - misalnya - memperoleh pulangan RM100 daripada pengiklan bagi setiap pembaca setahun, namun laman sesawang berita cuma mendapat RM1 bagi seorang pembaca.

Ia 100 kali ganda lebih rendah berbanding pernah diperoleh media cetak. Justeru portal berita seperti Malaysiakini tidak boleh bergantung semata-mata dengan pengiklanan.

Penyelamat kami ialah pembaca berbayar (bagi portal Malaysiakini versi bahasa Inggeris). Pendapatan daripada langganan ini lebih stabil dan dapat dijangka, berbanding perolehan daripada pengiklanan yang terikat dengan situasi ekonomi. Tanpa pendapatan daripada pembaca berbayar, Malaysiakini sudah lama 'bungkus'.

Dan untuk berdepan dengan kekangan itu kami terpaksa berbelanja dengan berhemat - terutama dalam peruntukan gaji yang menjadi perbelanjaan terbesar kami.

Ramai kakitangan yang bekerja untuk Malaysiakini memperoleh gaji yang lebih rendah berbanding apa yang ditawarkan syarikat lain dalam pasaran sama.

Malah kakitangan pengurusan kanan dibayar hampir separuh lebih rendah daripada apa yang dinikmati penjawat sama di tempat lain.

Adalah jelas semua pihak di Malaysiakini berkorban untuk memastikan syarikat terus operasi.

Kami bukan mengeluh. Ia adalah pengorbanan yang kami lakukan dengan rela. Kami memulakan perjalanan ini dengan penuh sedar. Kami tahu keuntungan yang ada adalah kecil, dan kami maklum bakal berdepan dengan tekanan, tangkapan dan serangan.

Dan sukar untuk kami mendapat sumber manusia yang baik dengan gaji yang kami tawarkan. Namun kami percaya jika mereka diasuh dengan sabar, suatu hari nanti mereka bakal menjadi antara orang penting dalam industri.

Perjuangan perundangan kami

Justeru inilah sebabnya mengapa kami perlu melibatkan orang ramai untuk mendapatkan dana. Kami tidak memiliki peruntukan untuk hal-hal luar jangka. Bagi kebanyakan kes yang melibatkan kami, peguam kami memberikan khidmat secara pro-bono (tanpa bayaran).

Kali terakhir kami meminta bantuan mengumpul dana daripada orang ramai ialah empat tahun lalu - melalui kempen Buy a Brick - yang berjaya mengumpul sejumlah RM1.7 juta untuk bangunan baru kami di Petaling Jaya.

Kami berharap kita tidak perlu melakukan kempen sebegini terlalu kerap.

Dan benar, ada kes lain di mahkamah yang sedang dihadapi. Misalnya saman syarikat National Feedlot Corporation (NFC) yang kami menangi dan kini dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Selain itu ada juga saman oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung laporan kami mengenai kekecohan di kawasan parlimen. Ia belum dibicarakan di mahkamah tinggi.

Dan di sana ada satu kes yang besar - saman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung komen dibuat pembaca kami. Kes ini juga belum didengar di mahkamah kerana peguam kami sedang mencabarnya dari sudut perlembagaan.

Tidak ketinggalan kami berdua perlu berdepan dengan tuduhan jenayah berhubung kandungan video KiniTV yang tidak menyenangkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Kes itu akan didengar di Mahkamah Siber tidak lama lagi.

Kami yakin kami akan berjaya di mahkamah. Dan kami yakin - lebih daripada sebelumnya - bahawa anda akan kekal bersama kami lagi jika mahkamah memihak sebaliknya.

Lebih 2,175 penyokong menyumbang kepada Tabung Pembelaan Malaysiakini dalam tempoh dua minggu lalu. Hampir semua mereka menghulurkan bantuan dalam jumlah yang sederhana atau kecil, selain jumlah terbesar sebanyak RM3,500. Penduduk Bukit Koman turut menghulurkan sumbangan. Malah sesetengah anda memberikan bantuan ini lebih daripada sekali.

Tidak ada taikun, tiada tajaan daripada pihak korporat. Hanya orang biasa seperti anda - yang memperoleh gaji, bekerja sendiri, atau pesara - yang menghulurkan wang masing-masing kepada tabung ini. Ini adalah semangat yang kami mahu suburkan di kalangan kakitangan Malaysiakini. Dan semangat inilah yang mahu kami saksikan di kalangan penyokong serta seluruh rakyat Malaysia.

Kuasa seorang manusia yang bersendirian boleh mencapai sesuatu yang luar biasa, namun kuasa orang ramai yang bekerjasama boleh melakar sesuatu yang mustahil.

Untuk itu, kami sangat berbesar hati dan menghargai setiap seorang daripada anda. Terima kasih.


STEVEN GAN dan PREMESH CHANDRAN ialah pengasas bersama Malaysiakini, dan masing-masing berkhidmat sebagai ketua pengarang kumpulan, serta ketua pegawai eksekutifnya.

Lihat Komen
ADS