Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

INKUIRI SUHAKAM l Tiada rekod imigresen yang menunjukkan aktivis Amri Che Mat masuk ke Thailand dan pulang ke Perlis pada hari sama, sehari sebelum kehilangannya pada 25 November 2016.

Perkara ini dimaklumkan pemerhati polis R Munusamy ketika sesi pemeriksaan balas dengan isteri Amri, Norhayati Ariffin, dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Beliau juga memberitahu panel bahawa rekod imigresen yang diperolehi polis hanya menunjukkan pengasas NGO Perlis Hope itu melintasi sempadan menerusi Wang Kelian pada 11 Mei tahun yang sama.

"Tiada rekod imigresen yang menunjukkan Amri telah pergi (dan kembali dari) Thailand pada 21, 22, 23 atau 24 November," katanya.

Beliau yang juga ketua polis daerah Sentul berkata ia bertentangan dengan keterangan Norhayati yang Amri pulang ke rumah dari Thailand pada pagi 24 November 2016.

Norhayati sebelum ini berkata Amri berada di Thailand untuk berjumpa "kawan rapatnya" bernama Din, dan beliau juga bersetuju dengan kenyataan Munusamy bahawa nama sebenar kawannya itu adalah Mohidul Domlux, berdasarkan maklumat polis.

Norhayati berkata beliau menghubungi Mohidul pada 25 November selepas menyedari kehilangan Amri, dan diberitahu dua lelaki itu baru sahaja bertemu.

"Biasanya mereka berjumpa di Hatyai...Dia (Amri) ada urus niaga forex dengan Mohidul," kata Norhayati ketika ditanya tentang pertemuan itu.

Norhayati menyifatkan Mohidul sebagai kawan rapat dan pelanggan Amri yang telah terlibat dengan urus niaga forex selama kira-kira tujuh tahun.

Namun, ketika ditanya sama ada Amri mempunyai cara lain untuk masuk ke Thailand tanpa menggunakan pasport, beliau berkata tidak pasti kerana pasport suaminya ada di rumah.

Munusamy kemudian memberitahu panel yang polis akan membuat permohonan untuk memanggil pegawai imigresen untuk memberi keterangan dan mengesahkan maklumat yang telah mereka perolehi setakat ini.

Ketua panel, Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai kemudian meminta Norhayati menyerahkan pasport Amri sebagai bukti untuk mengesahkan kenyataan berkenaan perjalanannya ke Thailand.

Suhakam ini menyiasat sama ada Amri dan dua lagi individu hilang secara "dipaksa atau tanpa kerelaan", seperti yang ditakrifkan Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED).

Dua lagi kes individu hilang yang sedang disiasat adalah paderi Joshua Hilmy dan isternya, Ruth Sitepu.

Lihat Komen
ADS