Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tidak ada cadangan naikkan kadar GST, kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengulangi pendirian kerajaan bahawa kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan kekal pada enam peratus.

“Saya beri jaminan, kerajaan tidak ada cadangan naikkan kadar GST,” kata Najib di Putrajaya hari ini.

Beliau juga mengulangi bahawa pada enam peratus, kadar GST Malaysia adalah antara yang paling rendah di dunia.

Pengkritik sering mendakwa bahawa pelaksanaan GST telah meningkatkan kos sara hidup, terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

Najib bercakap pada sambutan Hari Kastam Antarabangsa ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Beliau berkata pelaksanaan GST juga memastikan ekonomi negara terus stabil.

“Kalau tidak ada GST saya tak yakin kita dapat beri bayaran khas (bonus) kepada penjawat awam.

“Kalau tidak ada GST, mana tahu kita berada dalam keadaan kegawatan ekonomi,” katanya.

Pembayaran khas yang diumumkan pada Bajet 2018, akan dibuat melalui dua bayaran - RM1,000 pada awal bulan Januari dan RM500 lagi sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Najib berkata kutipan GST untuk tahun lalu adalah RM44 bilion, manakala anggaran bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM45 bilion.

Lihat Komen
ADS