Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Memang kerajaan Kelantan tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, atau pihak yang bersekongkol mahu menjatuhkan PAS di negeri itu.

Menurut Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi orang ramai tidak boleh melihat Kelantan dan Selangor sebagai sesuatu isu yang boleh dibuat bandingan.

Di Selangor, katanya, wakil rakyat PAS tidak menyerang kerajaan negeri tetapi keadaan di Kelantan berbeza.

"Di Kelantan kita ambil tindakan (tidak memberi peruntukan) hanyalah kepada mereka yang naik pentas untuk bersama menjatuhkan kerajaan Islam di Kelantan," katanya dalam satu sidang media, semalam.

Sebaliknya kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Baru itu wakil rakyat PAS Selangor bersama-sama kerajaan negeri yang dipimpin Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

Sementara itu, ADUN tunggal PKR di Kelantan, Roslan Puteh, mengesahkan kepada Malaysiakini, beliau masih menerima peruntukan daripada kerajaan negeri.

ADUN Guchil itu berkata, peruntukan berbentuk geran tahunan baru saja diterimanya untuk perbelajaan tahun ini.

"Ya saya masih terima, peruntukan untuk tahun ini juga saya baru dapat maklumat melalui pejabat tanah dan jajahan, " katanya ketika dihubungi.

Selain wakil rakyat BN, Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa, turut tidak menerima bantuan peruntukan berkenaan.

Husam ialah bekas naib presiden PAS dan exco Kelantan. Dia dipecat daripada PAS pada Mei 2016 kerana tidak sependapat dengan kepimpinan parti yang bersikap lunak kepada Umno.

Husam kemudian menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) sekali gus menjadikan dia seorang pembangkang di DUN Kelantan.

Lihat Komen
ADS