Kumpulan pendesak kebebasan media antarabangsa yang berpangkalan di Paris Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mengecam keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan Malaysiakini membayar ganti rugi RM350,000 dalam kes dengan sebuah syarikat perlombongan emas.

“Ia sama sekali tidak dapat diterima dan tidak sepadan apabila wartawan dijadikan sasaran prosiding mahkamah hanya kerana hadir sidang media untuk kepentingan awam,” kata ketua RSF Asia Pasifik Daniel Bastard.

Mahkamah mengarahkan Malaysiakini membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 serta RM150,000 lagi sebagai kos guaman.

RAGM menyaman Malaysiakini berhubung tiga laporan serta dua klip video yang membabitkan kebimbangan dinyatakan orang awam terhadap kesihatan mereka.

Keresahan itu berkait dengan aktiviti perlombongan - dengan bahan berkaitan sianida digunakan untuk mendapatkan emas - berhampiran penempatan di Bukit Koman di Raub, Pahang.

Pada 2016 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman RAGM atas alasan ia gagal membuktikan niat jahat di pihak Malaysiakini.

Keputusan itu kemudian dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 11Jan lalu selepas panel tiga hakim - diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim - bersidang.

Hakim mendapati pembelaan Malaysiakini berdasarkan aspek reportage serta "pembelaan Reynolds" tidak terpakai dalam kes berkenaan.

Syarikat perlombongan terbabit menghentikan operasinya sejak itu dan mula melaksanakan prosiding pembubarannya.

Tabung Pembelaan Malaysiakini yang dilancarkan 13 hari lalu telah pun ditutup semalam selepas mencapai sasaran kutipan.

Bagaimanapun pihak yang mahu terus menderma untuk Malaysiakini berdepan kes-kes lain pada masa depan dialu-alukan berbuat demikian.

Mereka yang ingin menyumbang kepada Tabung Pembelaan Malaysiakini boleh menyumbang ke dalam akaun berikut:

Nama akaun: Mkini Dotcom Sdn Bhd
Nombor Akaun: 514253516714 (Maybank)
Kod Swift: MBBEMYK
Alamat cawangan: Dataran Maybank, Tingkat 1 Menara A, Dataran Maybank, 59000 Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh dibuat melalui kad kredit dengan menghubungi +603 7770 0017 atau melalui PayPal.