Polis: Aktivis hilang Amri muflis pada 2008
INKUIRI SUHAKAM | Aktivis yang hilang Amri Che Mat diisytiharkan muflis pada 2008.
Perkara ini didedahkan oleh pemerhati polis R Munusamy semasa menyoal balas aktivis Perlis Hope Faisol Abdul Rahman, saksi keempat dalam inkuiri Suhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
“Dia (Amri) diisytiharkan muflis pada 18 Mac 2008,” kata Munusamy yang memberikan notis kebankrapan kepada Amri sebagai bukti untuk inkuiri yang diketuai oleh pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai.
Pemerhati Majlis Peguam Andrew Khoo kemudian berkata pengisytiharan muflis tidak semestinya mencerminkan keadaan kewangan sebenar Amri.
“Sebagai contoh, kita kamu jadi penjamin kepada seseorang dan orang itu tak boleh bayar, pemiutang akan turut isytiharkan kita muflis jika kita enggan bayar,” kata Khoo yang meminta polis membekalkan dokumen sokongan berkaitan status kewangan terkini Amri.
Mah bagaimanapun berkata polis sudah menjalankan tanggungjawab dengan memberikan notis itu dan ia terserah kepada peguam keluarga Amri untuk mengambil langkah susulan.
“Saya rasa bola di kaki peguam untuk buat lebih kerja. Dia mungkin sudah dilepaskan (daripada status muflis),” kata Mah.
Munusamy yang juga ketua polis Sentul sebelum itu merujuk kepada keterangan Faisol bahawa dia percaya Amri tidak pernah mempunyai masalah kewangan kerana tidak pernah meminta pinjam dan secara berterusan membantu orang lain.
“Bagi saya dia tiada masalah kewangan kerana cara hidupnya seperti orang biasa.
“Ini pandangan saya berdasarkan apa yang saya lihat,” kata Faisal yang bersetuju dengan cadangan Munusamy bahawa dia tidak tahu Amri diisytiharkan muflis.
Faisol juga tidak tahu bahawa kereta Toyota Fortuner milik Amri – yang dipandunya pada malam 24 November ketika beliau didakwa dilarikan – didaftarkan atas nama adik iparnya Norhafizan Ariffin.
Disoal berkaitan penglibatan Amri dalam perdagangan pertukaran wang asing (forex), Faisol berkata beliau hanya tahu beberapa pelanggannya terdiri daripada kawan-kawasan mereka bersama.
Faisol bagaimanapun tidak tahu jumlah sebenar kecuali apa yang diberitahu Amri bahawa kadang kala keuntungannya mencecah RM15,000.
Isteri Amri, Norhayati Ariffin, yang menjadi saksi pertama semalam mendedahkan suaminya terlibat dalam urus niaga forex sekitar 2007.

