Pembeli Flat Taman Ampang Mewah kecewa lagi apabila Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) gagal mengesan pemaju perumahan tersebut untuk mengadakan perbincangan berhubung soal pemberian hakmilik pembeli yang telahpun menyelesaikan pinjaman mereka.

Perjumpaan tersebut dijadualkan diadakan pagi semalam di bangunan MPAJ, sehari selepas pembeli terbabit menghantar memorandum kepada MPAJ berhubung isu tersebut, serta masalah lain yang dihadapi pembeli flat berkenaan.

Seorang pembeli terbabit, Wong Choi Kan berkata, mereka dimaklumkan bahawa pihak MPAJ tidak dapat mengesan alamat syarikat pemaju terbabit Syarikat Seimbang Sdn Bhd.

Dalam perjumpaan di antara penduduk dengan MPAJ kelmarin, Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad memberitahu mereka yang pihaknya akan mendapatkan wakil syarikat pemaju itu untuk menghadiri perbincangan semalam.

Jurutera Bangunan MPAJ, Khairul Nizam Che Azman pula ketika dihubungi mengesahkan pihaknya tidak dapat mencari alamat syarikat tersebut.

Katanya, ini mungkin kerana syarikat tersebut membina Flat Taman Ampang Mewah kira-kira 20 tahun lalu dan operasi syarikat itu mungkin telah berpindah ke tempat lain.

Syarikat penyelenggara

Bagaimanapun, katanya, urusan penyelenggaraan taman tersebut kini diuruskan oleh Tows West Sdn Bhd yang berpejabat di Subang.

"Kami akan mendapat kepastian sama ada syarikat penyelenggaraan tersebut mempunyai kaitan dengan syarikat pemaju," katanya.

Manakala seorang kakitangan Tows West, ketika dihubungi, berkata pegawai yang bertanggungjawab terhadap Flat Taman Ampang Mewah keluar dan beliau tidak dapat memberikan sebarang ulasan mengenainya.

Khairul Nizam berkata, pemeriksaan MPAJ mendapati flat tersebut terbut memiliki sijil layak menduduki (CF).

Mengenai dakwaan penduduk bahawa mereka tidak mendapat hakmilik walapun sudah menjelaskan pinjaman, beliau menasihatkan mereka merujuk kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di Shah Alam.

Ketika dihubungi, jurucakap lembaga itu berkata, pihaknya berperanan menjadi orang tengah bagi membantu menyelesaikan pertikaian mengenai penyelenggaraan membabitkan penduduk dan pemaju atau syarikat penyelenggara di kawasan berkenaan.

Hak pembeli

"Masalah ini dikendalikan di bawah Jawatankuasa Pengurusan (MC) lembaga itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, urusan pengeluaran hak milik adalah tanggungjawab Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

Beliau menjelaskan, selagi hakmilik sementara tidak diberi kepada pembeli, pihak pemaju perlu mengurus sendiri penyelenggaraan di kawasan perumahan tersebut.

"Tetapi kami mendapati banyak penghuni yang tidak menjelaskan kos penyelenggaraan," katanya.

Beliau berkata, apabila masalah ini berlaku, kedua-dua pihak saling menuding jari dan Lembaga Perumahan dan Hartanah akan memanggil mereka untuk mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Bagaimanapun, katanya, pembeli perlu tahu hak-hak mereka seperti kandungan perjanjian jual beli dan tanggungjawab pemaju kepada mereka.