Wartawan TV3: Surat misteri tentang Anwar tidak disahkan
Seorang wartawan penyiaran Sistem Televisyen Malaysia (TV3) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kajian dan penyelidikan tidak dilakukan berhubung laporan berita yang disiarkan lima tahun lalu yang mendakwa bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendiang Karpal Singh telah menyoggok badan kehakiman dan pejabat peguam negara.
Selwam Arjunan, 35, yang bertugas sebagai Koresponden TV3 Bahagian Utara, juga memberi tahu bahawa dia tidak mengesahkan kandungan surat misteri yang membuat pertuduhan itu terhadap kedua-dua bekas pemimpin pembangkang itu.
"Tidak ada keperluan segera untuk mendapatkan komen atau ulasan Anwar atau untuk mengesahkan fakta sebelum menyiarkan laporan itu pada 2 Ogos 2013.
"Sebaik risalah atau surat misteri ini diterima oleh Anwar, adalah tanggungjawab mereka untuk menghubungi kami atau media untuk menyatakan ulasan mereka dengan sewajarnya.
"Laporan berita ini khusus untuk laporan sidang akhbar yang dibuat oleh Datuk Mazlan Ismail (bekas calon BN Permatang Pauh).
"Memandangkan nada, gaya dan cara keseluruhan laporan itu, saya tidak merasakan perlunya mendapatkan pengesahan atau ulasan dari Anwar," katanya ketika menjawab soalan dari peguamnya TH Liew.
Selwam menambah bahawa TV3, yang dimiliki dan dikendalikan oleh Syarikat Televisyen (M) Bhd, mengamalkan kewartawanan yang bertanggungjawab dari penyediaan berita sehingga ia disiarkan melalui Buletin Utama.
Sementara itu, Bernama melaporkan saksi pertama TV3 itu berkata beliau menerima panggilan daripada Mazlan pada 1 Ogos 2013, sehari sebelum laporan berita itu disiarkan dan Mazlan memaklumkan kepadanya bahawa beliau ingin membuat sidang media berhubung 6,000 surat yang didakwa telah dihantar ke rumahnya melalui pos dan sebahagian daripada surat diletakkan di hadapan rumahnya.
“Dalam sidang media itu, Mazlan menjelaskan bahawa beliau tidak mahu terlibat dengan perkara itu dan ingin mengembalikan semula surat berkenaan dan tidak tahu mengapa surat tersebut dihantar kepadanya,” katanya.
Menjawab soalan peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Anwar, Selwam mengaku bahawa beliau tidak membuat sebarang pengesahan daripada Anwar atau peguam Karpal Singh sama ada maklumat yang diterima daripada Mazlan betul ataupun tidak.
Disoal peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mazlan sama ada beliau mempunyai niat untuk menyiarkan kandungan surat itu, saksi itu berkata beliau sama sekali tidak mempunyai niat untuk berbuat demikian.
“Dalam sidang media itu, Mazlan tidak mengedarkan salinan surat dan tidak membaca keseluruhan kandungan surat berkenaan kepada pihak media,” kata Selwam yang turut memaklumkan Mazlan hanya menyebut mengenai “Bank Leak Anwar Karpal”.
Pada 15 Okt 2015, Anwar, selaku plaintif memfailkan saman selepas mendakwa Mazlan telah menyebabkan TV3 menyiarkan perkataan fitnah yang disiarkan menerusi Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 dan mendakwa Mazlan juga menyebabkan perkataan fitnah itu diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.
Beliau mendakwa Mazlan mengadakan persidangan media yang mengandungi perkataan fitnah yang serius dan berniat jahat membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.
Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi yang menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin bersambung 2 Mei.

