Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa negara akan hancur jika bertukar kerajaan adalah tidak demokratik, kata timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya sistem demokrasi diamalkan sekarang tidak akan mengundang sebarang huru hara sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya.

"Huru hara selalunya akan dilakukan oleh pihak yang kalah dan bukan bagi pihak yang mencapai kemenangan.

"Jadi dalam kontek politik Malaysia, pembangkang sudah pun biasa dengan kekalahan dan tidak ada sebarang huru hara pun yang berlaku," katanya seperti dipetik dari Harakahdaily.Tuan Ibrahim mempersoalkan sama ada kenyataan Najib menggambarkan perdana menteri itu akan melakukan sesuatu jika BN kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

PAS jelasnya, akan menjamin peralihan kuasa berjalan dengan harmoni kerana ia mendukung keamanan, kesejahteraan dan keharmonian negara.

Beliau turut menafikan dakwaan Najib bahawa janji yang ditaburkan oleh pembangkang semasa proses pilihan raya adalah semata-mata untuk berkuasa.

"Pada saya, rakyat boleh melihat kebanyakan janji yang tidak ditunaikan adalah dari BN bukan dari pembangkang.

"Contohnya pada setiap kali pilihan raya kecil berbagai projek dijanjikan tetapi selepas piliah nraya tidak ada pun yang dibuat," tegasnya.

Minggu lalu Najib mengingatkan rakyat negara ini bahawa mereka tidak seharusnya mengambil mudah dengan suasana aman serta politik stabil yang dikecapi hari ini sehingga sewenang-wenang ingin menukar kerajaan.

"Kita tidak boleh 'take for granted' (ambil mudah) hal keamanan ini. Dulu bila kita berdepan dengan ancaman komunis, bila kita nakkan kemerdekaan kita tahu nilai kemerdekaan dan keamanan.

“Tetapi bila negara sudah aman, harmoni selama ini, kadang-kadang kita lupa, kita ambil mudah. Ada kala kita merasakan bahawa tak susah, kita boleh tukar kerajaan, tak ada masalah, kata Najib.