Pemuda PKR (AMK) membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menyalahkan calon perdana menteri pembangkang Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu pengangkutan awam.
Setiausahaya Chang Lih Kang berkata masih banyak rungutan berhubung masalah perkhidmatan pengangkutan awam seperti kelewatan dan kerosakan teknikal yang kerap.
“Saya pasti sekiranya pengangkutan awam di Malaysia di tahap yang memuaskan, sudah pasti rakyat lebih memilih menaiki pengangkutan awam berbanding kereta terutama untuk mengelakkan daripada dikenakan bayaran tol dan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Najib pada 23 Januari lalu berkata pengangkutan awam di Malaysia telah diabaikan selama beberapa dekad lalu kerana ketaasuban seseorang pemimpin dengan idea kereta nasional.
Walaupun dia tidak menyebut sebarang nama, kereta kebangsaan Proton adalah idea bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini adalah seteru politik Najib.
Dalam kenyataan hari ini, Chang menyifatkan Najib sebagai “pemimpin kurang cerdik” kerana didakwa menyalahkan pemimpin terdahulu demi menutup kelemahan kepimpinannya kini.
