Ringgit terajui mata wang Asia berbanding dolar AS
Ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat pagi ini namun kekal kukuh dengan persekitaran sentimen yang positif dalam pasaran, dalam kedudukan dolar yang lemah, lapor Bernama.
Pada 9.00 pagi tadi, ringgit berada pada paras 3.8850/8900 berbanding dolar AS daripada 3.8840/8870 pada penutupan Khamis.
Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.8197/8271 daripada 4.8286/8327 pada Khamis dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.9663/9706 daripada 2.9746 / 9781.
Ringgit lebih tinggi berbanding pound British kepada 5.5027/5102 daripada 5.5491/5537, dan meningkat berbanding yen kepada 3.5415/5464 daripada 3.5630/5661.
Sementara itu, The Edge melaporkan bahawa ringgit mendahului matawang lain di Asia berbanding dolar AS.
Menurut akhbar itu, kekukuhan ringgit susulan keputusan Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus - kenaikan pertama dalam tempoh empat tahun.

