'Kempen #UndiRosak bertentangan prinsip demokrasi'
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menggesa para pengundi agar tidak "terpengaruh" oleh kempen #UndiRosak yang sedang digerakkan pihak tertentu di media sosial.
The New Straits Times memetik Hashim sebagai berkata bahawa pilihan raya adalah saluran rakyat memilih pemimpin dan kerajaan bagi mentadbir sebuah negeri dan negara.
"Itu (mereka yang mendesak supaya merosakkan undi) adalah suara nakal oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba meracuni minda rakyat.
"Di mana mereka sebelum pilihan raya? Menjelang pilihan raya, mereka tiba-tiba muncul dan cuba meracuni minda rakyat," katanya yang dipetik dalam wawancara program TV9 Nasi Lemak Kopi O yang bertajuk "Boleh Saya Bantu: Menjelang PRU-14 " hari ini.
"Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, dan oleh itu, rakyat berhak untuk memilih siapa yang mereka mahu undi," kata Hashim.
Ulasannya dibuat ketika kempen #UndiRosak, mula digerakkan di media sosial. Penyokong kempen itu menggesa orang ramai untuk merosakkan undi jika mereka tidak memihak kepada BN mahupun Pakatan Harapan pada PRU14.

