Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Guru mengamuk dalam mesyuarat dipindahkan
Diterbitkan:  Jan 26, 2018 5:55 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Kementerian Pendidikan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah memindahkan seorang guru ke Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu selepas video guru wanita terbabit mengamuk menjadi tular di media sosial.

Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini, pihak Kementerian Pendidikan berkata reaksi guru yang berasal dari sebuah sekolah di Kulim itu tidak melambangkan profesionalisme sebagai pendidik.

Sehubungan itu siasatan dilakukan untuk mengetahui punca guru wanita itu bertindak di luar kawalan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 24 Januari 2018 dan telah tular sehingga menimbulkan keresahan banyak pihak," menurut kenyataan itu.

Rakaman hampir empat minit yang tular di media sosial menunjukkan guru tersebut meninggikan suara kerana dipercayai tidak diberikan tempat duduk dalam sebuah mesyuarat dihadirinya selepas membuat bayaran sebanyak RM70.

"Bahasa Inggeris kamu sungguh teruk. saya sudah bayar RM70, tak ada tempat duduk.

"Saya minta tempat itu, tetapi mereka keluarkan dan pindahkan meja itu," katanya sambil menghentakkan tangan di atas meja dan beberapa kali dilihat meludah di dalam bilik mesyuarat berkenaan.

Menurut Kementerian Pendidikan, tindakan memindahkan guru terbabit adalah bagi mententeramkan emosinya serta menjaga ketenteraman proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di sekolah.

"Dalam hal ini KPM ingin mengingatkan semua guru serta pentadbir sekolah perlu sentiasa berkelakuan serta bertindak secara profesional pada setiap masa khususnya dalam konteks hubungan sesama rakan sekerja, murid-murid serta masyarakat bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.

"KPM juga menegaskan bahawa sebagai penjawat awam mereka hendaklah pada setiap masa menunjukkan teladan yang baik agar kepercayaan dan keyakinan terhadap profesion keguruan tidak menjadai bahan persendaan masyarakat," jelas kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS