Ulasan Malaysiakini

Lebai walang

Abdullahjones  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PULASAN | Malang besar bagi pas adalah bila ianya memusuhi semua.

Siapa sahaja yang tidak turut serta dalam perjuangan mereka adalah musuh nyata.

PAS beranggapan bahawa hanya mereka yang berkerja dalam jalur perjuangan suci. Hanya mereka yang berada di jalan yang lurus. Dan sorga adalah hak mutlak mereka sama ada mereka menang atau kalah pilihan raya.

Bekas rakan sekerja yang ‘lari dari perjuangan’ adalah munafik yang disamakan dengan para fasik pada zaman dahulu. Dan balasan paling setimpal adalah neraka paling bawah yang tiada hujung penderitaan.

PAS jadi rugi apabila melepaskan peluang untuk sekurang-kurangnya mendapat undi simpati daripada bekas ahlinya apabila mereka sering memperlekehkan sesiapa yang tidak sekata.

Kemudian dari itu, PAS juga mungkin kehilangan undi golongan atas pagar apabila saban hari kerja mereka tidak lain adalah mencari salah semua orang.

Benarkah tabligh tak ambil peduli?

Hukum neraka sentiasa bermain di bibir mereka apabila memperkatakan mengenai sesiapa yang tidak memberi sokongan.

Kumpulan-kumpulan agama yang giat juga sering diperlekeh oleh PAS. Al-Arqam atau tabligh adalah dua kumpulan yang sepatutnya dengan jaminan akan memberikan undi kepada PAS, namun disebabkan sifat permusuhan yang seakan-akan menjadi amalan biasa, kedua-dua kumpulan terbabit menjauhkan diri.

Tabligh adalah musuh utama PAS kerana katanya kumpulan ini meninggalkan politik.

Itu tentu sekali tidak benar.

Daripada tinjauan, didapati sebahagian besar mereka yang tabligh juga merupakan ahli kepada banyak partai politik negara termasuk yang sangat aktif dalam PAS!

PAS sebagai partai yang berteraskan Islam sepatutnya lebih bijak mengatur strategi bagi memikat orang supaya mengundi mereka.

Buang sifat suka bermusuh dengan semua orang. Perjelaskan desus-desas. Berhemah dalam ceramah dan berhenti menyalahkan semua orang.

Tapi itulah, apabila kita anggap kita saja yang mahir agama, tahu segala-galanya tentang Islam, maka orang yang di luar pun mula bosan apabila asyik dikatakan fasik. Sudahlah itu, diugut pula dengan neraka.

Daripada sebuah partai yang picisan, PAS kemudian menjadi satu kejutan dalam politik Malaya. Kini PAS dalam perjalanan bahaya menjadi sebuah bahan ketawa.

Dan mereka pun tidak kekurangan pelawak walaupun Mat Sabu telah tidak lagi bersama. Malah banyak pemimpin mereka tidak sedar yang mereka sebenarnya adalah pelawak.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang sederhana. Juga seorang jurugambar amatur serta seorang ninja dalam latihan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.