Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li: Parti kalah undi popular kurang hak moral untuk memerintah

Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pihak yang tidak mendapat undi popular dalam pilihan raya kekurangan hak moral untuk memerintah, walaupun menguasai majoriti kerusi.

Beliau berkata, selain mendapat hak memerintah secara fizikal iaitu dengan jumlah kerusi, parti politik juga perlu mendapat "hak moral".

Beliau yang juga anggota parlimen Gua Musang berkata, parti politik perlu menang dalam pilihan raya secara adil agar dilihat mempunyai hak untuk mentadbir negara.

"Jika pilihan raya dijalankan berdasarkan prinsip kemenangan melalui 'first past the post', parti politik yang tidak mempunyai undi popular tetapi memiliki majoriti kerusi akan berada dalam keadaan yang sukar.

"Ia boleh dianggap sebgai kekurang hak moral untuk memimpin," katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam forum "Reformasi untuk Malaysia yang Progresif" anjuran G25, di Shah Alam hari ini.

Pada PRU ke-13, BN hanya mendapat 47.38 peratus undi popular namun menguasai 133 daripada 222 kerusi Parlimen.

Soal undi popular itu juga menjadi antara hujah utama Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat) bagi mengatakan pihaknya yang sebenarnya mendapat sokongan rakyat.

Sementara itu, beliau juga berkata seseorang pemimpin tidak cukup dengan hanya dilihat "lebih bersih berbanding yang lain".

"Pandangan yang mengatakan 'tetapi pemimpin kita lebih bersih daripada pemimpin negara lain' tidak boleh diterima.

"Apa yang sepatutnya adalah 'pemimpin kita bersih', itu sahaja," katanya

Beliau berkata, pemimpin yang baik adalah seorang yang mempunyai etika dan berintegriti, serta jujur dan amanah.

Katanya lagi, orang ramai kini berpegang kepada hak mereka untuk mempunyai pemimpin yang bermoral tinggi.

Dalam era media sosial, beliau berkata "kehilangan hak" itu berlaku dengan pantas dan pada kebanyakan masa tanpa syarat.

"Sebaik sahaja moral yang tinggi itu hilang, hak untuk kekal dengan jawatan juga terhakis," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS