Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terowong dasar laut: P Pinang digesa buat audit terbuka

Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP disaran mengadakan audit terbuka terhadap projek tiga lebuh raya termasuk terowong dasar lautnya selain menyerahkan audit itu kepada Jawatankuasa Kira-kira wang Negara (PAC) sekiranya masih timbul isu.

Timbalan Menteri Luar yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat tepat berhubung projek itu selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan laporan negatif tentang projek berkenaan.

"Kalau ada benda-benda yang dianggap sebagai mempunyai kecurigaan dalam kalangan rakyat, sebagai ketua menteri adalah baik juga dia (Lim) minta supaya ia (projek berkenaan) dihantar untuk diaudit secara terbuka dan dibuat PAC.

"Jadi, orang tak boleh buat dakyah kata nak fitnah terhadap diri dia kalau benda ini diputuskan melalui konsep yang lebih telus," katanya pada sidang media selepas merasmikan ‘Projek Libatsama Universiti-Komuniti: Memperkasakan Warga Emas’, di dewan Darul Hanan Rumah Warga Emas Islam Pulau Pinang, Kepala Batas, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sikap Lim yang berang dengan laporan negatif mengenai projek itu selain mendakwa Barisan Nasional telah melakukan sabotaj.

Projek berkenaan merangkumi Jalan Berkembar Pesisir Utara sepanjang 10.53 km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, jalan pintas Air Itam-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7 km dan jalan pintas Persiaran Gurney-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 4.075 km.

Projek itu juga termasuk pembinaan terowong dasar laut sepanjang 7.2 km menghubungkan Persiaran Gurney, di Kepala Batas ke Bagan Ajam di Seberang Perai.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menyiasat projek itu kerana didakwa melibatkan kos kajian kebolehlaksanaan yang tinggi dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri.

Projek juga menerima bantahan daripada pihak-pihak yang menyuarakan kebimbangan tentang kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid yang turut hadir pada majlis berkenaan, berkata sebagai ketua menteri, Lim seharusnya mempunyai sifat yang terbuka dan berlapang dada dalam menangani isu projek berkenaan.

“Sebenarnya dia (Lim) tak boleh menerima kenyataan. Dia tak boleh menerima kritikan…Jika tak buat silap, nak takut apa,” katanya.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS