Sudah lebih empat tahun sejak bekas penduduk Kampung Railway dijanjikan rumah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi sehingga kini mereka mendakwa kerja-kerja bagi projek itu masih belum dimulakan.

Pada Disember 2013, seramai 120 keluarga dijanjikan pangsapuri kos rendah dalam tempoh tiga tahun selepas pengusiran mereka daripada kampung berkenaan.

Bukan sahaja tarikh akhir telah lama tamat, hingga kini kerja-kerja pembinaan masih belum dimulakan, kata bekas penduduk Kampung Railway, M Jayanthy, 60.

"Sekarang 2018, kami masih tunggu. Kami tak pasti jika mereka akan bina rumah kami. Kami benar-benar tak tahu apa yang sedang berlaku (dengan kerja pembinaan).

"Apakah ini hanya janji-janji palsu?" soalnya pada sidang akhbar di pusat khidmat anggota parlimen Batu, Tian Chua hari ini.

Penduduk menerima surat tawaran dari DBKL untuk memperoleh unit pangsapuri kos rendah berharga RM42,000, tetapi masih belum menandatangani sebarang Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan pemaju swasta, Sentul Raya Sdn Bhd.

Sentul Raya adalah 100 peratus milik YTL Land.

Siasatan oleh Malaysiakini mendapati masih tiada struktur dibina di plot tanah yang terletak bertentangan dengan pasar Sentul itu.

Bekas penduduk R Jothikrishnan, 64, menambah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Dr J Loga Bala Mohan sebelum ini memberitahu penduduk bahawa tanah di mana pangsapuri kos rendah itu akan dibina adalah "tidak lagi sesuai".

Ini kerana kabel air dan elektrik terletak di bawah tanah lokasi pembinaan.

"Kalau ini benar, kenapa mereka mengadakan majlis pecah tanah (untuk pangsapuri kami) di sana pada 2015?" soal Jothikrishnan.

Pada masa itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta maaf kepada penduduk Kampung Railway dan berjanji ia akan siap dalam jangka masa ditetapkan.

Tian Chua: Perjanjian mesti dikotakan

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Tian Chua, yang mengatakan kerajaan perlu segera menyelesaikan isu ini.

"Kami tidak mahu menteri baru masuk (selepas pilihan raya) dan perkara-perkara seperti ini dilupakan. Kami mahu perjanjian yang dijanjikan kepada penduduk dikotakan.

"Adalah tidak adil bila penduduk-penduduk ini dinafikan hak-hak mereka, penantian mereka menjadi teka teki sejak sekian lama," katanya, sambil menambah akan membangkitkan isu itu pada sidang Parlimen Mac depan.

Kampung Railway, yang terletak di tanah KTMB, didiami oleh pekerja kereta api sejak sebelum tahun 1957, tetapi mereka diminta mengosongkan tanah untuk tujuan pembangunan.

Sejak pengusiran mereka, penduduk ditempatkan di pelbagai Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan tidak dikenakan sewa oleh DBKL.