Malaysiakini
BERITA

'Najib berhati suci tambah peruntukan Kelantan'

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Jan 2018, 11:01 tengahari

Datuk Seri Najib Razak melontarkan janji untuk terus memberi peruntukan lebih kepada negeri Kelantan.

Menurut perdana menteri, beliau tidak sanggup melihat rakyat Kelantan terdera dan dipinggirkan daripada arus pembangunan negara.

"Memang saya nak tambah peruntukan untuk Kelantan.

"Takkan orang Kelantan kita nak pinggirkan. Takkan kita nak dera, jangan," katanya ketika berucap di majlis Sepetang Bersama NGO Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai membandingkan peruntukan yang disalurkan kerajaan persekutuan ketika zaman bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan di bawah pentadbirannya.

Najib yang mengadakan lawatan sehari ke Kelantan itu berkata, selama 22 tahun memerintah hanya RM12.7 bilion disalurkan Mahathir kepada negeri itu.

Sebaliknya kata beliau, sejak 2006 hingga tahun ini kerajaan memperuntukan RM14.69 bilion kepada Kelantan.

"Kita ada masa lagi untuk tambah peruntukan Kelantan. Sebab saya nak pembangunan yang inklusif, pembangunan yang seimbang, adil dan saksama.

"Nak undi atau tak undi kita itu hak mereka, tapi kali ini undi kitalah," katanya dengan nada berseloroh di hadapan kira-kira 1,500 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan barisan kepimpinan Umno Kelantan.

Terdahulu, Mustapa dalam ucapannya menyifatkan Najib sebagai seorang berhati suci dan disayangi rakyat Kelantan.

"Datuk Seri Najib ini antara sifatnya dia berhati suci, ramai yang berkenan dengan dia, rakyat Kelantan sayang.

"Sebab itu juga Raja Arab Saudi, Raja Salman pun berkenan pada dia, sebab itu presiden China berkawan rapat dengan beliau," katanya.


Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.