Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengesan sebuah kumpulan Kumpulan Din/Pemuda Kahfi yang didakwanya terbabit dengan ajaran sesat sedang mengumpul ahli bagi menubuhkan empayar negara Islam.

Berikutan itu, Abim telah memaklumkan perkara itu kepada pihak polis dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) supaya mengambil tindakan terhadap kumpulan terbabit.

Presidennya, Yusri Mohamad berkata, kumpulan tersebut mendakwa Malaysia bukan sebuah negara Islam sepenuhnya.

Selain itu, katanya, ajaran sesat tersebut boleh memesongkan akidah umat Islam kerana antihadis, menafsir al-Quran mengikut lojik sendiri dan mahu menanam sikap taksub ahli kepada kumpulan itu.

"Ia dikesan berlaku di Seri Kembangan, Kajang, Ampang dan Gombak, semuanya di Selangor dan juga di beberapa kawasan lain di negara ini.

"Mereka yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan tertentu di Indonesia, bergerak secara sembunyi bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa," katanya dalam sidang media di pejabat Abim di Gombak dekat Kuala Lumpur hari ini.

Laporan polis

Katanya, Abim telah membuat laporan kepada polis dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) supaya mengambil tindakan terhadap kumpulan terbabit.

"Saya percaya modus operandi kumpulan ini diasaskan kepada sebuah kumpulan ajaran sesat di Indonesia yang mahu mewujudkan sebuah negara Islam di republik itu," katanya.

Beliau berkata, Kumpulan Din/Pemuda Kahfi mensasarkan pemuda yang berumur 20-an dan penuntut pusat pengajian tinggi tempatan.

Beliau bagaimanapun, tidak dapat memberikan jumlah pengikut kumpulan tersebut tetapi menjelaskan bilangannya besar, termasuk dari kalangan profesional seperti jurutera, doktor dan peguam.

Katanya, beliau mendapat maklumat ini melalui bekas pengikut kumpulan tersebut yang menyertai kumpulan itu pada pertengahan tahun lalu.

Yusri berkata, untuk menyertai kumpulan ini, mereka dikenakan bayaran hampir RM5,000 untuk membiayai pelbagai perkara seperti bayaran taubat, yuran pengajian dan bayaran untuk melawat negara Islam.

Dituduh kafir

"Setiap ahli diwajibkan mendapatkan 10 ahli baru, terutama di kalangan ahli keluarga dan kawan rapat," katanya.

Sementara itu, seorang bekas ahli kumpulan tersebut mendakwa, beliau menyertai kumpulan itu selepas di pengaruhi oleh seorang rakan baiknya pertengahan tahun lalu.

Katanya, selepas membayar RM1,350 beliau dibawa ke sebuah bangunan di Taman Shamelin Perkasa, dekat Cheras untuk mengikuti kelas pengajian agama.

Menurutnya, banyak kekeliruan yang timbul dalam ajaran tersebut, antaranya mereka tidak percaya kepada hadis, menyebabkan beliau mengambil keputusan meninggalkannya.

"Apabila saya keluar, ahli kumpulan itu menuduh saya sudah kafir," katanya yang enggan identitinya dikenali kerana bimbang mendapat ancaman daripada ahli kumpulan tersebut.

Beliau berkata, ramai juga pengikut yang telah meninggalkan kumpulan ajaran sesat tersebut kerana mereka tidak mampu dikenakan bayaran yang mahal.