PAS dakwa k’jaan rampas edisi Harakah terbaru
Portal rasmi PAS, Harakahdaily Online melaporkan edisi terbaru akhbar Harakah di pasaran yang dijual di beberapa tempat telah dirampas oleh pihak berkuasa.
Menurut laporan itu, Jabatan Editorial Harakah dimaklumkan, rampasan berlaku di beberapa kedai sekitar Kerdau, Temerloh, Pahang dan juga di Hulu Langat, Selangor sejak dua hari selepas ia diterbitkan.
Portal itu juga memetik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harakah, Zainal Abidin Kidam sebagai berkata tindakan itu dilihat sudah menjadi kelaziman setiap kali menjelang pilihan raya.
“Dah nak dekat pilihan raya umum, inilah trendnya,” katanya, ringkas.
Harakah edisi itu, antaranya memaparkan cerita muka depan mengenai kegagalan kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi perbandingan adil mengenai ekonomi Malaysia berbanding Arab Saudi.
Menjelang pilihan raya umum ke-13 yang lalu, serbuan juga diadakan ke atas beberapa akhbar parti politik pembangkang.
Selain Harakah, turut menjadi sasaran adalah Suara Keadilan dan The Rocket yang didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.
Mereka didakwa melanggar Seksyen 5 undang-undang tersebut yang meperuntukkan syarat edaran untuk ahli sahaja.
Selain merampas nashkhah berkenaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga memberi amaran untuk menangkap pembekal dan pengedar akhbar itu di beberapa tempat.

