Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU-14: Khalid Ibrahim ikrar bantu jentera PAS
Diterbitkan:  Jan 29, 2018 12:55 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Walaupun menyatakan pendiriannya tidak akan menyertai PAS, namun bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau akan membantu parti itu berkempen pada pilihan raya umum akan datang.

“Ada yang bertanya kenapa saya tidak masuk PAS... saya tak perlu masuk PAS tapi bekerja dengan PAS.

“Kalau saya masuk PAS, saya akan mengubah struktur dalam PAS dan orang cakap saya masuk PAS sebab nak pangkat dan jawatan, jadi biar saya bebas dalam perkara ini,” katanya yang dipetik Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian dalam ceramah anjuran PAS di Batang Kali, semalam.

Selain itu, Khalid juga meminta PAS untuk bersabar dengan sebarang kemungkinan menjelang pilihan raya umum ke-14 sekiranya 'dicucuk' oleh pelbagai kenyataan.

Ini kerana, pada pilihan raya umum ke-13, ada pihak menjangkakan BN akan menguasai Selangor memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika itu menyandang jawatan pengerusi Umno negeri.

Khalid turut memberitahu, duit yang mencukupi juga diperlukan bagi menghadapi pilihan raya walaupun ia bukan faktor penentu kemenangan.

“Kita hanya belanja RM1.3 juta untuk kempen pilihan raya tetapi kita tetap menang.
“Maknanya duit bukan penentu untuk menang tetapi kita kena ada duit mencukupi untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat untuk membentuk kerajaan di Selangor.

Bagaimanapun beliau masih belum memikirkan berapa kerusi yang akan ditandingi parti berkenaan.

Malah, Abdul Hadi turut mensasarkan PAS akan memenangi kerusi parlimen yang mencukupi agar kerajaan sendiri dapat dibentuk atau parti itu menyertai pembentukan kerajaan baru selepas pilihan raya umum ke-14.

PAS sebelum ini menyatkan hasrat untuk bertanding si sekurang-kurangnya 130 kerusi parlimen.

Lihat Komen
ADS