Tiada lagi alasan, tangkap bekas suami saya, kata Indira
Selama sembilan tahunlama, M Indira Gandhi cuma mengharapkan kes tiga anaknya yang ditukar agama mereka akan sampai ke penghujungnya. Dan hari ini Mahkamah Persekutuan menjadikan hasratnya itu sebagai kenyataan.
Bagi guru tadika itu, beliau hanya ingin mendakap anak gadis bongsunya, Prasana Diksa, sekarang 11, yang tidak pernah dilihatnya sejak bayi itu dilarikan oleh bekas suaminya.
"Paling menyedihkan saya tidak boleh berkongsi masa ini dengan anak bongsu saya, yang tidak bersama saya dan keluarga ini. Sudah sembilan tahun untuk saya tidak melihatnya.
"Apa yang saya mahukan sekarang ialah memeluknya (Prasana Diksa). Sudah sembilan tahun saya tidak dapat jumpa anak bongsu saya.
“Sebagai seorang ibu, saya ingin lihatnya dan mahu bersamanya selepas keputusan hari ini," katanya. memberitahu wartawan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepadanya.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada peguam dan hakim-hakim yang membuat keputusan bersejarah hari ini, Indira, 43, berharap berharap Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Mohd Fuzi Harun, kini akan memberi tumpuan untuk memburu bekas suaminya K Pathmanathan @ Mohd Ridhuan Abdullah, dan menangkapnya kerana melarikan Prasana Diksa, ketika dia hanya berumur 11 bulan, pada tahun 2009.
Ibu Indira , S Vengammah 75, yang juga hadir, turut mempunyai mesej untuk disampaikan kepada polis dan IGP.
"IGP tidak mempunyai alasan sekarang dan dia perlu lakukan apa yang sepatutnya. Dia perlu bermula sekarang (memburu dan menangkap Ridhuan)," katanya.
Mahkamah Persekutuan, pada April 2016, memerintahkan polis untuk menangkap Ridhuan selepas beliau gagal hadir di mahkamah, dan waran tangkap juga telah dikeluarkan.
Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihak polis akan mematuhi perintah mahkamah, tetapi tiada tangkapan dibuat sejak itu.

