Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam Sharie: Keputusan hari ini boleh timbulkan masalah di masa depan

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata keputusan mahkamah berhubung kes penukaran agama sepihak membabitkan M Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah, akan menimbulkan konflik dalam kes seumpamanya di masa hadapan.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan takrif "ibu bapa" harus bersifat majmuk - melibatkan ibu dan juga bapa - justeru penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Musa berkata, kes yang serupa di masa depan akan merujuk keputusan yang dibuat hari ini.

"Saya agak terkejut dengan keputusan ini. Keputusan anak untuk menentukan agamanya pasti akan dipengaruhi siapa yang menjaganya.

"(Maka) Ia boleh menimbulkan konflik, misalnya perebutan anak sehingga anak dibawa lari pihak tertentu (sama ada penjaga yang beragama Islam mahupun bukan Islam yang tidak mendapat hak penjagaan).

"Kemudian anak disembunyikan sehingga anak itu membuat pilihan selepas mencapai umur 18 tahun," katanya kepada Malaysiakini.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara berpuas hati bahawa penukaran agama anak perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa, sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Zulkefli berkata, panel hakim mengambil maklum keputusan itu boleh mencetuskan perdebatan tetapi menjamin ia dibuat tanpa pengaruh agama.

Sepuluh tahun lalu, Mohd Ridhuan menukar agama tiga anaknya, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinish (11 tahun) dan Prasana Diksa (11 bulan), tanpa kebenaran dan pengetahuan Indira.

Sepanjang tempoh itu, kes tersebut turun naik di pelbagai mahkamah, malah pada satu masa keputusan Mahkamah Syariah bercanggah dengan Mahkamah Sivil.

Berbeza dengan pandangan mazhab

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak lagi terikat dengan keputusan kes R Subashini lawan T Saravanan pada tahun 2007, yang menyaksikan isteri yang beragama Hindu itu diarahkan untuk mencari jalan penyelesaian di Mahkamah Rayuan Syariah untuk menghentikan suaminya yang beragama Islam daripada menukar agama anak mereka tanpa persetujuannya.

Musa berkata, perbezaan dengan kes tahun 2007 itu menyebabkan keputusan hari ini bertambah janggal.

Selain itu, katanya lagi, ia juga berbeza dengan pandangan empat ima mazhab utama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Berdasarkan mazhab Shafie, Hanafi dan Hambali, jika ibu atau bapa memeluk agama Islam, anak perlu mengikutnya.

"Mazhab Maliki pula berpandangan jika bapa yang memeluk Islam anak perlu mengikutnya, kerana anak dinasabkan kepada bapa dan bukan ibu," katanya lagi.

Namun, katanya lagi, tiga anak dalam kes ini masih boleh memilih agama sendiri tanpa persetujuan ibu dan bapa selepas cukup umur 18 tahun.

Lihat Komen
ADS