Isu tapak A&W: Ahli majlis PJ keluar mesyuarat
Sekumpulan ahli majlis Petaling Jaya keluar daripada mesyuarat lembaga bulanan hari ini selepas mendakwa kebimbangan mereka berkaitan kelulusan projek pembangunan di tapak bekas restoran A&W terkenal di Lorong Sultan tidak didengar oleh datuk bandar.
“Beliau empat kali kata jika kami tidak suka (keputusan itu), kami boleh minta negeri gugurkan beliau sebagai datuk bandar.
“Saya saya tanya sama ada kami boleh undi untuk gugurkan beliau sebagai pengerusi mesyuarat.
“Beliau kemudian meminta pegawai penguat kuasa untuk mengeluarkan kami dari mesyuarat,” kata ahli majlis Majlis Bandar Raya Petaling Jaya Sean Oon kepada Malaysiakini hari ini.
Datuk Bandar Datuk Mohd Azizi Mohd Zain juga mengarahkan seorang lagi ahli majlis Terence Tan dikeluarkan, kata Oon.
Ketika dihubungi Tan mengesahkan datuk bandar meminta penguat kuasa mengeluarkan mereka daripada mesyuarat.
Seorang lagi ahli majlis Jamaliah Jamaluddin berkata 10 orang ahli majlis memutuskan untuk keluar mesyuarat apabila datuk bandar memanggil pegawai penguat kuasa.
“Kami keluar ketika pegawai penguat kuasa berjalan ke arah kami,” katanya.
Perselisihan pendapat berpunca daripada keputusan Jawatankuasa Unit Pusat Setempat (OSC) berkaitan nisbah 1:8 yang diberikan untuk tapak A&W itu, katanya.
“Ramai daripada kami tidak setuju dan rasa tidak selesa dengan nisbah tapak yang diluluskan.
“Justeru itu, kami minta keputusan disemak semula. Datuk bandar enggan, dengan berkata keputusan OSC adalah muktamad.
“Kami tidak minta keputusan itu ditukar dalam mesyuarat penuh lembaga. Kami juga minta perkara itu dibincangkan semula oleh OSC.
“Bagaimanapun beliau berkata beliau adalah pengerusi dan menolak perbincangan lanjut,” dakwa Jamaliah.
MBPJ diapor meluluskan pembangunan bangunan pejabat 20 tingkat di tanah 0.4 hektar yang popuar dengan restoran A&W pandu lalu itu.
Keputusan itu dibuat setelah bertahun-tahun nasibnya tidak pasti. Berita penutupannya telah beredar sejak tahun 2014 lagi dan penggurannya telah pun membuka kedai lain berdekatan kawasan itu.
Media juga diminta keluar, padam rakaman
Sementara itu, The Star melaporkan datuk bandar turut menutup mikrofon beberapa ahli majlis ketika ketegangan itu.
Malah, lapor harian itu, strim langsung rasmi juga dihentikan selepas itu.
“Ketika ahli majlis mula keluar, pemberita juga diminta meninggalkan bilik dan memadamkan rakaman di telefon bimbit,” menurut laporan itu.
Sementara itu, Azizi juga dilaporkan berkata keputusan OSC adalah muktamad dan ia dibawa ke mesyuarat penuh lembaga hanya untuk makluman kepada ahli majlis.

