'Benarkan orang bukan Islam ke mahkamah Syariah'
Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia hari ini menggesa kerajaan meminda undang-undang yang membataskan mahkamah syariah terhadap orang Islam sahaja, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes penukaran agama sepihak membabitkan M Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah, hari ini.
"Pindaan perlu dibuat untuk memberi kelonggaran kepada orang bukan Islam hadir sebagai pihak (dan terlibat dalam perbicaraan) di mahkamah syariah.
"Dengan cara ini, mereka juga boleh mendapatkan keadilan di mahkamah syariah," kata presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam kenyataan.
Selain itu, beliau juga menggesa undang-undang berhubung penukaran agama Islam melibatkan kanak-kanak dikaji semula.
"Kanak-kanak yang tidak boleh bertutur lagi umpamanya tidaklah perlu mengucapkan syahadah bagi pemelukan Islam, cukuplah sekadar ibubapanya beragama Islam," katanya.
Selama kira-kira sepuluh tahun, kes M Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah, dibicarakan di kedua-dua mahkamah syariah dan sivil, malah pada satu masa dua mahkamah itu membuat keputusan yang saling bertentangan sehingga menimbulkan pertikaian.
Ketika Ridhuan menukar agama anak mereka pada 2009, anak yang paling muda, Prasarana Diksa, baru berusia 11 tahun. Selama sembilan tahun, Indira tidak dapat bertemunya kerana dilarikan Ridhuan.

Indira mendapat hak penjagaan untuk dua lagi anaknya.
Hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan takrif "ibu bapa" harus bersifat majmuk - melibatkan ibu dan juga bapa - justeru penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara berpuas hati bahawa penukaran agama anak perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa, sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.
Mahkamah Persekutuan kompeten
Walaupun kecewa dengan keputusan itu, Zainul Rijal berkata semua pihak perlu menerimanya.
"Amat menyedihkan kerana ia memberikan duluan yang aneh, di mana Mahkamah Persekutuan meminggirkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelumnya," katanya.

Beliau merujuk kes R Subashini lawan T Saravanan pada tahun 2007, yang menyaksikan isteri yang beragama Hindu itu diarahkan untuk mencari jalan penyelesaian di Mahkamah Rayuan Syariah untuk menghentikan suaminya yang beragama Islam daripada menukar agama anak mereka tanpa persetujuannya.
"Namun (keputusan hari ini) dibuat oleh mahkamah yang kompeten. Masyarakat Islam perlu menunggu kes yang lain untuk berhujah semula bagi mengenepikan penghakiman ini," katanya lagi.
Satu lagi kes perebutan anak bekas pasangan berbeza agama yang mendapat perhatian umum adalah antara S Deepa dengan bekas suaminya N Viran atau Izwan Abdullah, melibatkan dua anak mereka.
Pada 10 Februari 2016, Mahkamah Persekutuan memberikan hak penjagaan anak perempuan kepada S Deepa manakala anak lelaki kepada Izwan.
Mahkamah ketika itu berkata, keputusan dibuat dengan mengambil kira hasrat dua anak itu.

