Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 jadi sumber inspirasi
Diterbitkan:  Jan 29, 2018 8:31 PM
Dikemaskini: 12:42 PM

Mungkin ramai yang mengkritik dan malah menghentam Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dipersembahkan baru-baru ini, tetapi ia juga pada masa sama menjadi sumber inspirasi beberapa kartunis.

Barangkali mereka ingin membantu rakyat Malaysia untuk menghadapi isu ini.

Kartunis atas talian popular Hxsm melakar komik yang menunjukkan seorang murid sekolah yang membesar dengan imej "Wawasan 2020" yang makmur dan maju, kemudian mendewasa dan kecewa selepas melihat logo itu.

Kartunis Ernest Ng melalui siri "Bro, don't like that la, bro" pula membayangkan logo tersebut adalah hasil budaya subkontrak projek-projek kerajaan.

Ia menyebabkan rantaian pihak yang mengaut keuntungan sementara kerja sebenar dijalankan oleh pihak yang tidak berpengalaman.

Sementara itu, pereka grafik Nadzrin Zariff dengan nada sarkastik menghuraikan setiap kesalahan pada logo tersebut dari sisi pandang falsafah reka letak.

Misalnya, beliau menunjukkan beberapa saiz huruf yang tidak konsisten, dan membangkitkan soal orang utan berkacamata di logo tersebut.

Logo tersebut dilancarkan ketika forum pelancongan Asean di Thailand, minggu lalu.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Datuk Tan Kok Liang menggesa orang ramai agar melihat kepada acara Tahun Melawat Malaysia 2020 sendiri, bukan logonya.

"Logo baru Tahun Melawat Malaysia 2020 ini, dengan ikon Malaysia yang paling dikenali, berkaitan dengan promosi destinasi popular dan pengalamn bercuti yang menyeronokkan.

"Gambaran hidupan liar pada logo ini memang perlu agar ramai yang segera tertarik dengan aspek itu, selain meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan eko-pelancongan yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat pedalaman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata kementerian tidak akan menukar logo tersebut walaupun dikritik hebat.

“Tak ada isu apa mengenai logo, kritik tu biasalah, orang Malaysia ini siapa pun tak kritik, dia tak kritik diri dia je jadi saya takkan buat apa-apa pertukaran.

“Saya tak kisah lah, netizen tempatan tu biasalah. Kalau nak dengar cakap mereka, sampai 2020 pun tak dapat persetujuan (mengenai logo),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS