Menteri: Hak ibu dan bapa sama rata
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau yakin keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan M Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah, telah mengambil kira kepentingan umum dan juga pihak yang terlibat.
"Saya percaya keputusan ini mengambil kira keharmonian masyarakat berbilang kaum serta hak ibu bapa yang sama rata seperti yang dinyatakan dalam Akta Penjagaan Budak 1961.
"Keputusan hari ini telah menyatakan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu dalam isu penentuan agama anak," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, menteri yang bertanggungjawab dalam soal undang-undang itu berharap semua pihak menghormati keputusan itu.
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan takrif "ibu bapa" harus bersifat majmuk - melibatkan ibu dan juga bapa - justeru penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, Mohd Ridhuan Abdullah, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara berpuas hati bahawa penukaran agama anak perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa, sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.
Panel dianggotai tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zainun Ali, dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.
Dalam pada itu, Azalina berkata beliau akan membawa soal penukaran agama anak yang terkandung dalam Seksyen 88A Rang Undang-Undang Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Pindaan) 2016 (Akta 164) ke kabinet.
Seksyen itu menghalang orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk menukar agama anaknya tanpa persetujuan pasangannya. Ia digugurkan ketika Akta 164 diluluskan di Dewan Rakyat tahun lalu.
"Selaras dengan keputusan hari ini yang mengatasi semua keputusan terdahulu, saya akan membawa perkara tersebut kepada perhatian kabinet," katanya.

