Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Selangor sedia tawar kerusi untuk Khalid Ibrahim
Diterbitkan:  Jan 30, 2018 9:04 AM
Dikemaskini: Feb 4, 2018 3:00 AM

Kurang 24 jam selepas bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikrar akan membantu PAS berkempen pada pilihan raya umum akan datang, parti itu menyatakan kesediaan untuk menawarkan kerusi kepada ADUN Pelabuhan Klang itu.

Syaratnya adalah Abdul Khalid berubah fikiran (daripada menjadi wakil rakyat bebas ketika ini) dan sedia menyertai PAS.

Akhbar Sinar Harian dalam laporannya hari ini berkata tawaran itu dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang berkata, fasa memujuk Abdul Khalid berterusan, walaupun parti itu menghormati pendiriannya yang memilih bergerak bebas.

“Hubungan PAS dan Abdul Khalid cukup akrab dan kita dah kenal sejak beliau menyandang jawatan penting di Selangor. Kami hormati prestasi dan kepimpinannya.

“Cukup jika beliau menunjukkan sokongan melalui kempen dan program penerangan bersama PAS, itu sudah memadai untuk meyakinkan rakyat kerana latar belakang dan rekodnya yang bersih,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Beliau juga berkata, kehadiran Abdul Khalid adalah satu penghargaan buat PAS seterusnya membuktikan ia adalah parti yang diyakini oleh beliau untuk meneruskan perjuangan yang terbantut selepas dipecat sebagai menteri besar Selangor.

Menurut Roslan Shahir, sikap Abdul Khalid yang terbuka hadir dalam program politik PAS dan Umno juga membuktikan peribadinya yang berpendirian.

“PAS yakin beliau hadir pada program Umno dan PAS tanpa agenda tersembunyi, sebaliknya sebagai meneruskan agenda rakyat Selangor yang diperjuangkan termasuk program air dan ekonomi.

“Penolakannya mungkin disebabkan komitmen, namun keberadaan bersama PAS dianggap sebagai platform terbaik buatnya meneruskan agenda perjuangan rakyat,” katanya.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat untuk membentuk kerajaan di Selangor.

Bagaimanapun beliau masih belum memikirkan berapa kerusi yang akan ditandingi parti berkenaan.

Malah, Abdul Hadi turut mensasarkan PAS akan memenangi kerusi parlimen yang mencukupi agar kerajaan sendiri dapat dibentuk atau parti itu menyertai pembentukan kerajaan baru selepas pilihan raya umum ke-14.

PAS sebelum ini menyatkan hasrat untuk bertanding si sekurang-kurangnya 130 kerusi parlimen.

Lihat Komen
ADS