Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menafikan bahawa gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Pulau Pinang berada dalam kacau-bilau berikutan beberapa konflik antara beberapa ADUN parti itu dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Saifuddin berkata insiden seumpama itu tidak akan menjejaskan semangat dan perpaduan di kalangan pemimpin dan ahli parti-parti komponen.

"Kami masih utuh, belum sampai peringkat di mana HARAPAN berpecah-belah,” kata Saifuddin kepada Malaysiakini.

"Konflik biasanya dianggap sebagai kes terpencil atau perkembangan sihat dalam demokrasi," kata Saifuddin yang juga adalah penasihat strategik Lim.

"Kes terpencil" itu membabitkan ADUN Penanti, Norlela Ariffin dan ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng.

Norlela mencetuskan perbalahan apabila bertindak membidas Lim semasa beliau membangkitkan isu kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Aduannya itu menyaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap ahli majlis eksekutif kerajaan negeri Phee Boon Poh untuk siasatan berhubung dakwaan rasuah.

Sementara itu, Cheah pula mempersoalkan pengkorporatan Taman Botani Pulau Pinang sedangkan Lim pula tidak puas hati dengan cara beliau mengendalikan mangsa banjir di estet Hong Seng.

[Baca berita penuh]