Polis percaya mualaf, Muhammad Ridhuan Abdullah yang gagal menyerahkan anak perempuannya kepada bekas isterinya, M Indira Gandhi masih berada di dalam negara, kata
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata, polis sudah membuat semakan dengan Jabatan Imigresen mengenai perkara tersebut dan mendapati mereka tidak meninggalkan negara.

“Jadi kami merayu kepada masyarakat kalau ada maklumat dan sebagainya untuk maklum kepada kami,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah/Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard dan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur, hari ini

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika itu oleh bekas suaminya, Muhammad Ridhuan yang berlangsung hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny, 21, Karan Dinish, 20 dan Prasana Diksa 9, kepada Islam.

Menerusi 99 mukasurat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira Gandhi hak penjagaan sepenuhnya terhadap ketiga-tiga anaknya dan memerintahkan Muhammad Ridhuan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.