Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS setuju k'jaan kaji undang-undang kekang berita palsu

PAS bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menjalankan kajian bagi memperkenalkan undang-undang mengekang berita palsu yang menjadi ancaman kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata usaha kerajaan amat tepat pada masanya memandangkan terlalu banyak berita palsu yang tersebar ketika ini terutama menggunakan platform media sosial.

“Islam sendiri menekankan maklumat itu mesti benar, (namun) banyak media-media sosial menyiarkan maklumat tidak benar, mengelirukan masyarakat dan mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan sebagai berkata kerajaan akan mengkaji perkara itu kerana rakyat boleh terpesong sehingga membenci kerajaan atau melakukan sesuatu seperti merusuh kerana terpengaruh dengan berita palsu.

Ditanya mengenai langkah terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) khas sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Mohd Amar berkata PAS mengambil sikap ' tunggu dan lihat'.

"Buatlah dulu, nak jawab setuju ataupun tidak benda kena buat dulu... silap-silap tak jadi. (Tapi bagi PAS sendiri) kita memang sudah ada kaedah iaitu baiah terutama untuk mengikat calon supaya tidak menyeleweng dan tidah salah guna kedudukan.

"Baiah itu diputuskan oleh parti dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama. Memang setiap kali PRU, hatta pilihan raya kecil (PRK) pun calon mesti berbaiah," katanya.

Mengulas mengenai penyebaran senarai calon PAS di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam, Mohd Amar berkata perkara itu tidak boleh diambil kira walaupun parti itu telah mempunyai senarai calon yang lengkap.

"Kita kemukakan cadangan tiga calon bagi setiap kerusi (setakat ini) namun keputusan akhir belum ada. Hari penamaan nanti baharu boleh tahu calon yang akan bertanding.

Senarai calon-calon ini, kadang-kadang esok nak penamaan calon, hari ini bertukar lagi (nama calon). Itu biasa dalam politik kerana calon yang disenaraikan itu mungkin ada isu-isu yang berbangkit, masalah teknikal. Sebab itu keputusan siapa yang akan bertanding, (hanya) pada hari penamaan calon," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS