Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Umno Kelantan menafikan dakwaan parti itu bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi menjatuhkan kerajaan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata, tuduhan tidak berasas seumpama itu sudah menjadi kebiasaan setiap kali menjelang pilihan raya.

"Macam-macam sangkaan dan kenyataan dikeluarkan apabila semakin hampir dengan tarikh PRU14.

"Kita orang lama berpolitik ini sudah biasa dan matang sangat dengan spekulasi sedemikian," katanya selepas melancarkan program Jualan Sentuhan Rakyat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kampung Gemang, di Jeli, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa Umno dan AMANAH bekerjasama menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan mendakwa, wujud perbincangan dan perjumpaan antara kedua-dua pimpinan parti tersebut.

Bagaimanapun Mustapa berkata beliau selaku pengerusi perhubungan Umno Kelantan sendiri tidak pernah mengadakan pertemuan dengan mana-mana pemimpin AMANAH bagi membincangkan isu itu.

Sebaiknya beliau berkata Umno tidak mempunyai kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang dan akan menentang sesiapa saja yang bertanding dalam PRU14.

"Saya sebagai pemimpin Umno dan BN di Kelantan setakat ini tidak pernah mengadakan perjumpaan dengan mana-mana pemimpin AMANAH untuk membincangkan agenda menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan pada PRU14," jelasnya.

Lihat Komen
ADS