Lembaga Penasihat Hindu Pulau Pinang (PHEB) mengecam kekejaman terhadap dua ekor lembu yang digunakan untuk menarik kereta berhala pada perayaan Thaipusam di negeri itu.

Klip video pendek yang dikatakan memaparkan deraan terhadap haiwan berkenaan menjadi tular di media sosial sejak malam tadi, sehingga mengundang kemarahan netizen yang mengkritik perbuatan itu.

Dua ekor lembu itu dilihat dikerah menarik kereta berhala berusia 127 tahun itu manakala kira-kira 20 orang berada di atasnya, dilihat tidak menghiraukan nasib haiwan berkenaan.

Pengerusi LPHP, P Ramasamy berkata lembaga itu tidak boleh membiarkan "perbuatan kejam" sedemikian dan akan campur tangan dalam perkara berkenaan.

"Kami memiliki peraturan yang ketat mengenai kekejaman terhadap haiwan, kita harus menghentikan perbuatan sedemikian terhadap haiwan semasa perayaan suci ini yang disertai oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia," kata Ramasamy ketika dihubungi.

Katanya kereta berhala itu sebelum ini ditarik oleh penganut termasuk wanita yang menyumbangkan tenaga untuk menjayakan sambutan perayaan berkenaan.

"Selain itu, jika anda tidak mahu penganut anda menarik kereta berhala berkenaan, anda boleh menggunakan pacuan empat roda. Tradisi itu bagus tetapi anda tidak boleh mengikut membuta tuli," tegasnya.

Kejadian itu yang dilaporkan berlaku malam tadi, berlaku di Jalan Utama di Pulau Pinang, di mana para penyembah Dewa Murugan dilihat berbaris di jalan-jalan manakala kedua-dua lembu jantan itu diarak ke kuil Nattukotai Chettiar di Jalan Kebun Bunga.

Ramasamy berkata negara India telah menghentikan tradisi menggunakan lembu untuk menarik kereta berhala kerana ia "bukan perkara yang betul untuk dilakukan".

"Ia bukan sahaja kejam tetapi melukakan hati pencinta haiwan di seluruh dunia yang menghormati dan mengagumi perayaan suci Thaipusam," katanya.

Malaysiakini cuba menghubungi jawatankuasa kuil Chettiar untuk mendapatkan maklum balas.

[Baca berita penuh/asal]