Pahit manis Thaipusam buat Indira Gandhi
Pada perayaan Thaipusam kali ini, perasaan M Indira Gandhi bercampur-baur.
Baru dua hari lalu, pertarungan Indira untuk membatalkan penukaran agama tiga anaknya yang dibuat tanpa kebenaran berpihak yang sudah berlanjutan selama sembilan tahun berakhir, apabila keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepadanya.
Tetapi pada masa sama, anak bongsunya, Prasana Diksa, yang kini berusia sembilan tahun masih bersama-sama bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, yang sehingga kini tidak dapat dijejaki.
"Sambutan Thaipusam tahun ini memberi sedikit keistimewaan kepada saya dan keluarga kerana selepas perjuangan saya selama sembilan tahun, akhirnya keputusan (mahkamah) berpihak kepada saya.
"Bagaimanapun, ia tetap tidak sempurna selagi saya tidak bertemu Prasana," katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.
Beliau ditemui bersama-sama anak sulungnya, Tevi Darsiny, di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, Perak.
Pada 2009, Muhammad Riduan menukarkan agama Tevi, Prasana, dan anak lelaki mereka Karan Dinish (kini sebelas tahun) kepada Islam.
Beliau kemudian melarikan diri bersama Prasana, yang ketika itu berusia sebelas bulan. Sejak itu, Indira tidak pernah bertemu dengannya.


