Seorang lelaki yang bekerja sebagai pengutip bola golf di Samarahan Golf and Country Club di Kuching meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Joseph Meringgai Edward Ampan, 47, ditemui dalam keadaan terbaring sambil memegang jaring bola, oleh seorang rakan sekerjanya.

Sepasukan petugas perubatan daripada Institut Jantung Negara (IJN) yang berdekatan bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Isteri mangsa, Lina Reji, 39, berkata suaminya memang mempunyai masalah jantung dan mengadu sakit di bahagian dada sebelum keluar bekerja pada pukul 8 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Lee Chong Chern berkata tiada unsur jenayah atau kecederaan dikesan pada badan mangsa.

"Polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Kereta terbabas, 2 maut

Sementara itu di Johor Bahru, dua lelaki maut selepas kereta jenis Nissan Latio yang dinaiki terbabas di KM 30, Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, berhampiran Hentian Bandar Penawar tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ashmon Bajah berkata mangsa yang maut ialah penumpang kenderaan P. Yoagentran, 24 dan pemandu yang masih belum dikenal pasti identiti.

Katanya kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sehingga menyebabkan kenderaan terbabas dan remuk.

“Kedua-dua mangsa mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Sailani Oda berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.55 tengah hari semalam, sebelum menghantar 10 anggota ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

Anggota bomba difahamkan mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing.

- Bernama