Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Indira Gandhi: Orang Islam jangan marah-marah

KATA MP | Rata-rata orang Islam yang marah dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan gunakan alasan ini - kenapa mahkamah hendak 'murtadkan' semula ketiga-tiga anak yang telah diIslamkam itu?

Saya tidak hairan jika orang Islam marah dan kecewa. Lagi-lagi jika disimbah api kemarahan itu melalui pelbagai kenyataan yang zahirnya lebih senang untuk mencuit dan mengusik emosi dengan pelbagai cara dan kaedah. Bila emosi menguasai diri, 'rationality' tidak wujud lagi.

Pihak yang tidak faham isu sebenar juga, malangnya, tumpang sekaki dan kadangkala lebih sudu daripada kuah. Tak apa lah, bagus lah menunjukkan kasih sayang pada agama hingga tidak mahu melihat mana-mana individu Islam murtad. Syabas.

Cuma saya sekadar hendak melontar beberapa soalan untuk renungan kita bersama, jika boleh lah.

Adakah negara ini hanya ada satu agama sahaja dan ada satu mahkamah sahaja - Mahkamah Syariah?

Saya tanya begitu kerana melihat daripada segala komen tentang isu ini ianya semacam berpremiskan seolah-olah hanya ada agama tunggal sahaja dalam negara ini dan hanya ada satu mahkamah sahaja di negara ini - Mahkamah Syariah dan khusus untuk orang Islam sahaja.

Justeru itu, segala yang berlaku dalam isu ini hanya perlu ditentukan oleh satu hukum sahaja - hukum Islam. Betul ke cara begitu?

Sayugia saya ingin nyatakan di sini, dalam ilmu perdebatan (mujadalah), asas sesuatu hujah mestilah ia berpremiskan premis yang betul dan tepat. Jika tidak jadi celaru.

Baiklah, kita marah sebab mahkamah kata pengislaman kanak-kanak itu tidak sah, maka kita kata mahkamah hendak murtadkan semula kanak-kanak itu.

Jika itu pendirian kita, macam mana pula ketika kanak-kanak itu diislamkan secara unilateral (sebelah pihak) di mana ibu kandung mereka yang susah payah lahirkan mereka tidak dirujuk, jauh sekali diminta pandangan?

Enakmen Pentadbiran Agama Islam

Adakah kita rasa si ibu tidak perlu dilayan sebab beliau beragama Hindu? Betul kah cara begitu?

Kita ada Jabatan Agama Islam dan kita juga ada Enakmen Pentadbiran Agama Islam di setiap negeri dan dalam Enakmen itu pula kita setuju letak syarat dan kaedah macam mana cara proses pengislaman seseorang itu hendak dilakukan.

Bila kita buat undang-undang itu, sudah tentu untuk kita ikut bukan? Tiba-tiba ada orang kata cara kita Islamkan kanak-kanak itu tidak ikut undang-undang yang kita buat sendiri.

Lalu dicabar proses pengislaman (conversion) itu di mahkamah melalui semakan kehakiman dan Mahkamah Persekutuan kata cabaran melalui semakan kehakiman itu betul caranya.

Mahkamah juga berkata proses pengIslaman itu tidak sah kerana melanggar enakmen yang kita gubal sendiri dan maka mahkamah batalkan sijil pengisaman kanak-kanak itu kerana ia tidak sah.

Semakan kehakiman

Dalam undang-undang, mahkamah keluarkan perintah certiorari. Luar biasa kah cara itu? Tapi, kita marah dan kata mahkamah yang arah murtadkan kanak-kanak itu. Adilkah begitu ?

Tahu kah kita Mahkamah Syariah yang ada sekarang tidak ada bidang kuasa hendak dengar kes semakan kehakiman. Jadi, macam mana seseorang yang rasa keputusan Pejabat Agama tidak betul hendak mencabar keputusan itu di Mahkamah Syariah?

Sedarkah kita masa mantan suami Puan Indira Gandhi minta bubarkan perkahwinan mereka dan minta hak penjagaan (hadhonah) kanak-kanak itu, ia dibuat secara 'ex parte' sahaja (sebelah pihak) di Mahkamah Syariah dan berjaya.

Masa itu si isteri dan ibu kepada kanak-kanak itu tidak berpeluang langsung untuk didengar kerana ia masih beragama Hindu.

Sedangkan masa kes yang sama didengar di Mahkmah sivil, para hakim mahkamah sivil sama ada di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, mereka dengar kes itu secara 'inter parte' (dua-dua pihak). Jadi, yang mana satu yang lebih dekat dengan prinsip keadilan?

Kita selalu laung kuat yang kita nak hukum Islam dijalankan. Baguslah.

Tetapi sedarkah kita jika dalam kes seperti ini pun kita gagal hendak tonjolkan keadilan Islam, rasanya dapatkah kita yakinkan orang-orang bukan Islam yang Islam itu adil untuk semua. Takut nanti orang Islam pun tidak yakin yang Islam itu adil. Na'udzubillah.

Baru hari itu kita bentang RUU 355 tanpa buka perbahasan hingga kini. Memalukan.

Sekarang ni, komen-komen kita dalam kes ini tidakkah ia juga meletakkan imej Islam yang cantik dan indah itu tiba-tiba jadi tidak cantik dan tidak indah.

Salahkah pujangga Iqbal jika dia kata 'Al-Islamu mahjubun bil muslimin' (Islam itu terhijab/ terlindung oleh orang-orang Islam itu sendiri). Allah lebih mengetahui.

 


 

HANIPA MAIDIN ialah Anggota Parlimen Sepang dan seorang peguam.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


 

Lihat Komen
ADS