Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
73 aplikasi, 169 laman LGBT disekat di Indonesia
Diterbitkan:  Feb 1, 2018 5:55 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

GLOBAL I Google mengeluarkan sekurang-kurangnya 73 aplikasi berkaitan LGBT daripada gedung aplikasi mereka di Indonesia atas permintaan pemerintah negara republik itu.

Salah satu aplikasi yang disekat adalah Blued, aplikasi gay terbesar yang mendakwa memiliki 27 juta pengguna di seluruh dunia.

Selain itu sepanjang Januari 2018, sebanyak 169 laman LGBT yang didakwa mengandungi unsur tidak bermoral disekat.

BBC Indonesia melaporkan jurucakap Kementerian Komunikasi dan Maklumat, Noor Iza berkata langkah itu diambil untuk menyekat aplikasi yang memiliki kandungan negatif.

Noor bagaimanapun enggan mengulas lanjut namun keterangan yang dimuat naik di laman kementerian itu menyebut sejak awal minggu ini aplikasi Blued tidak lagi disediakan di Play Store Indonesia.

Kementerian itu juga dilapor telah berhubung dengan Google untuk menyekat 'kandungan negatif' dalam aplikasi tersebut.

"Mulai tanggal 28 Januari 2018, pihak Google telah melakukan penggantungan sehingga aplikasi itu tidak dapat ditemui dan dikeluarkan dari Google Play Store Indonesia," jelas Noor dalam kenyataannya.

Ini bukan kali pertama pemerintah Indonesia mengarahkan aplikasi seumpama itu dikeluarkan atau menyekat laman-laman berstatus LGBT.

Langkah serupa diambil beberapa kali sejak September 2016 sehingga 12 Oktober tahun lalu.

Lihat Komen
ADS