Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesawat tergelincir di lapangan terbang Tioman
Diterbitkan:  Feb 1, 2018 10:38 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Empat individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berdepan detik cemas apabila pesawat ringan yang dinaiki tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Tekek, Pulau Tioman, semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor berkata dalam kejadian 1 tengah hari itu Datuk Anuar Hassan, 48, dan isterinya, Datin Siti Norlaila Abu Bakar, 46, cedera akibat terhantuk ketika pesawat melanggar tebing di tepi landasan.

Turut cedera ringan pembantu peribadinya Muhammad Abdul A’lim Salleh, 28, serta juruterbang, Wan Mohd Faizul Rizal, 35.

"Siasatan awal mendapati pesawat milik peribadi Anuar jenis Cirrus 9M-ZWR berlepas dari Lapangan Terbang Senai, Johor untuk ke pulau peranginan itu atas urusan perniagaan.

"Bagaimanapun sebaik mahu mendarat pesawat berkenaan hilang kawalan akibat angin lintang dan menyebabkannya tergelincir daripada landasan, kelajuan angin ketika itu adalah 10 knot," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azli berkata juruterbang Wan Mohd Faizul Rizal memiliki lesen penerbangan pada 2010 dari Integreted Training & Services (ITNS), Ipoh, Perak dan mula bekerja dengan ahli perniagaan ini sejak lapan bulan lalu.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS