Paling Popular
Terkini

Polis Terengganu menahan lima anggota ‘Geng Anak Jin’ yang aktif dalam kes pecah rumah di sekitar Daerah Marang dan Kuala Terengganu sejak Disember lepas hingga awal Januari lalu.

Kesemua suspek berjaya ditahan di sekitar Marang bermula 19 Disember hingga 4 Januari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Fazlisyam Abdul Majid berkata kesemua suspek berumur 16 hingga 47 tahun dan empat daripadanya adalah lelaki dan seorang wanita berumur 23 tahun.

“Kumpulan ini terbabit dalam sembilan kes di Marang dan satu di sini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas sebuah kamera jenama Canon EOS 5D MARK II, lensa jenama Canon 24-70 dan 16-35mm, Speedlite jenama Canon dan satu bateri Canon LP.E6.

Pasangan kekasih pecah masuk

Sementara itu, dalam kes berasingan, Fazlisyam seorang lelaki bersama teman wanitanya, masing-masing berusia 29 tahun, ditahan ketika cuba melarikan kenderaan jenis Honda BRV selepas memecah masuk sebuah rumah di Bukit Payung, Marang, semalam.

Beliau berkata pasangan kekasih itu ditahan di daerah Besut pada jam 1 tengah hari selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11.51 pagi.

“Semasa tangkapan dilakukan, seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun yang merupakan anak kepada suspek wanita turut ditemui bersama mereka dan telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan,” kata Fazlisyam.

Selain kereta tersebut, polis turut menjumpai laptop jenis Asus, tablet jenis HP, tiga unit telefon bimbit jenama Nokia dan Yes dan notebook jenama Topit dalam kenderaan tersebut.

“Kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau yang mana suspek lelaki berkenaan mempunyai tujuh rekod kesalahan dan wanita tersebut mempunyai satu rekod kesalahan lampau serta positif dadah.

“Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun,” katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS