'Saya rasa satu kampung dengar saya menjerit', cerita si ayah
"Saya rasa satu kampung mendengar saya menjerit," cerita bapa M Vasantha Piriya apabila menemui anaknya tidak sedarkan diri, tergantung dengan selendang di lehernya di biliknya.
Star Online hari ini melaporkan R Muniandy, 54, sebagai berkata beliau terus melakukan pertolongan cemas dan meminta saudaranya menghantar anak perempuannya yang berusia 14 tahun itu ke hospital.
Anaknya dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap dan kemudian dipindahkan ke unit rawatan rapi Hospital Seberang Jaya.
Dia meninggal dunia di hospital itu pada jam 3.35 pagi semalam.
Vasantha Piriya dilaporkan cuba membunuh diri minggu lalu selepas seorang guru menuduh dia mencuri iPhone dan kemudian didakwa mengunci remaja itu di sebuah bilik dan menuntutnya supaya mengaku, sebelum menghantarnya pulang.
Muniandy, seorang bekas tukang masak, berkata anak perempuannya "sangat sedih" apabila dia pulang ke rumah pada hari itu dan memberitahu bahawa dia tidak mengambil telefon gurunya.
"Saya beritahu dia tidak perlu bimbang dan saya akan menyelesaikannya. Dia memberitahu neneknya perkara yang sama, "katanya.
"Dia mengunci dirinya di dalam biliknya dan menolak sofa untuk menyekat pintu. Apabila kami memaksa masuk ke biliknya, dia telah menggantung dirinya, " tambahnya, lapor Star Online.
Vasantha Piriya telah meninggalkan satu nota, memberitahu ibu dan neneknya bahawa dia menyayangi mereka, kata Muniandy.

"Dia juga mengatakan bahawa dia sayang guru itu dan tidak mencuri telefon bimbitnya. Dia juga berkata ia adalah keputusannya sendiri (cuba membunuh diri)," katanya, lapor Star Online lagi.
Sementara itu, ketua polis Seberang Perai Selatan, Supt Shafee Abdul Samad mengesahkan bahawa polis telah menyelesaikan siasatan mereka dalam kes itu dan telah menghantar kertas siasatan ke pejabat timbalan pendakwa raya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri, dan terpulang kepada timbalan pendakwa raya untuk memutuskan tindakan lanjut, katanya.
Siasatan Jabatan Pelajaran Pulau Pinang juga telah selesai, kata Timbalan Pengarahnya, Mohd Jamil Mohamed.
Beliau berkata, pihaknya sedang dalam proses menyediakan laporan akhir yang akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk tindakan selanjutnya.

