Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KATA MP I Saya hanya seorang insan yang amat kerdil dan diselubungi dengan penuh dosa, kelemahan dan kejahilan. Mungkin juga saya tidak layak menulis warkah ini untuk insan sehebat Datuk.

Tetapi, saya gagahkan juga diri saya menulis warkah ini demi nak melihat agar agama Islam ini tidak dilihat dan tidak dihakimi seolah-olah ia tidak mampu untuk bersikap adil kepada semua walaupun itu yang sering dicanangkan oleh ramai para agamawan.

Dalam menulis warkah ini, saya hanya berpegang dan bergantung kepada salah satu isi cebisan doa Rasulullah SAW, selepas Baginda a.s. diperlakukan dengan begitu kasar dan biadap oleh para penduduk Taif. Untuk pengetahuan Datuk, doa itu amat-amat memberi kesan yang mendalam dalam diri saya. Dan itulah motivasi utama saya di belakang warkah kerdil ini.

Antara cebisan isi doa itu, sepertimana yang pihak Datuk amat arif adalah berbunyi "In lam yakun bika 'alayya ghodabun fala ubali..." (I care not, so Thou be not wroth with me) - terjemahan oleh almarhum Martin Lings dalam bukunya "Muhammad, his life based on the earliest source").Dalam Bahasa Melayu, lebih kurang terjemahannya "Jika tidak mengundang kemurkaanMu wahai Tuhan, aku tidak peduli".

Warkah ini tidak berniat sama sekali untuk mengajar pihak Datuk yang sudah tentu lebih pakar dalam bidang agama sesuai dengan jolokan nama persatuan Datuk iaitu Persatuan Ulama Malaysia iaitu persatuan yang mewarisi kerja-kerja suci para anbiya' ( nabi-nabi ).

Maafkan saya Datuk jika warkah ini mungkin menggangu emosi Datuk atau Persatuan Datuk. Kita mungkin berbeza pandangan tapi insyaAllah masih dalam matlamat atau hadf yang sama-nak lihat Islam itu dihormati.

Hati yang luluh

Jujurnya, saya membaca dengan hati yang amat luluh bila PUM dilaporkan media berkata "tiada jaminan yang boleh dibuat Indira dalam memastikan anak itu terus kekal dengan Islam" setelah dilaporkan sebelum ini yang puan Indira tidak ada masalah sekiranya anaknya itu ingin kekal dalam agama Islam.

Si ibu malang ini yang semua tahu bertarung dengan nyawa mengandung anaknya itu dan hanya kepingin untuk melihat kembali anak kesayangannya yang dilarikan ketika masih bayi - hanya berusia 11 bulan. Saya yakin Datuk boleh menghargai perasaan dan naluri seorang ibu - ia merentasi batasan agama.

Media melaporkan antara lain pihak Datuk berkata "siapa nak terima jaminan itu, pasal anak itu masih kecil, siapa boleh percaya dia jamin mulut dari segi logik macam mana dia (anak itu) nak laksanakan Islam dalam suasana tiada Islam, nak sembahyang, kebersihan dan makan minum".

Pihak media juga lapor yang pihak Datuk berkata "Kita tahu dia ( Indira ) sebut pasal Islam sahaja, tapi sembahyang, bang (azan), tak tahu tu dalam kepala dia, macam mana nak buktikan (anak terus Islam), rumah tidak Islam macam mana nak jamin Islam, waktu sembahyang, makan dan minum boleh ke nak jamin (masih) budak pula tu".

Ketebalan prejudis

Saya tidak rasa ada masalah jika pihak Datuk merasai kebimbangan yang belum berlaku itu kerana Datuk, maaf, mungkin terlalu prejudis dengan puan Indira, si ibu yang masih tidak Islam itu.

Mungkin juga kerana ketebalan prejudis pihak Datuk, pihak Datuk terlalu mengharapkan satu ciri keislaman yang "perfect" ke atas kanak-kanak itu dari segi misalnya soal makan minum dan solatnya.

Kerana ketebalan sikap prejudis itu, pihak Datuk juga mungkin langsung tidak dapat berfikir yang si ibu yang bukan Islam itu mungkin boleh bertindak lebih baik dari kebimbangan Datuk itu dengan misalnya menghormati pegangan dan amalan agama anaknya itu. Bukankah di sini betapa relevannya senjata doa.

Apapun , dengan penuh hormat, saya rasa isunya di sini lebih daripada soal itu Datuk. Jujurnya, saya mengharapkan pihak Datuk dapat bersuara dari segi aspek ketidakadilan yang dilakukan ke atas ibu malang itu yang dipisahkan dengan anaknya sejak sekian lama.

Toleransi Islam

Jujurnya, saya mengharapkan pihak Datuklah yang dapat bersuara dari segi kerahmatan (mercy) Islam yang maha luas itu dalam isu sebegini.

Bukankah dalam al-Quran Allah SWT menyatakan "TuhanMu telah tetapkan rahmat untuk Dirinya .." (6:54) (kataba rabbukum 'ala nafsihi al- rohmata" ..).

Maafkan saya Datuk untuk berkongsi sedikit petikan sirah nabi kita, Rasulullah SAW. Dalam sirah Rasulullah SAW khususnya sewaktu "Fathu Mekah" (pembukaan kota Mekah) pada tahun 8 hijrah, saya percaya pihak Datuk lebih arif bagaimana Rasulullah SAW menonjolkan "qudwah" (model) kepada para sahabat dan umat Islam tentang sikap "tasamuh" (toleransi) Islam yang amat tinggi dan agung dengan pihak non-muslim.

Lihatlah bagaimana baginda a.s. menasihati Asma' Abu Bakar r.a untuk menziarahi ibunya yang bukan Islam meskipun Asma r.a. agak keberatan pada awalnya.

Lihatlah juga bagaimana Rasulullah SAW menegur Saidina Abu Bakar r.a. yang membawa bapanya, yang masih bukan Islam, Abu Quhafah berjumpa dengan Nabi SAW.

Bukankah nabi SAW menegur Saidina Abu Bakar r.a. mengapa beliau tidak biarkan sahaja bapanya itu duduk di rumahnya dan baginda a.s. sendiri yang datang ke rumah bapanya dan bertemu dengannya, bukan sebaliknya.

Hormat nabi pada bukan Islam

Tidakkah kisah-kisah dalam sirah itu menunjukkan betapa tinggi hormatnya nabi SAW kepada orang bukan Islam, apatah lagi yang ada hubungan kekeluargaan dengan para sahabatnya.

Saya tidak pasti apakah mesej yang cuba Datuk dan persatuan yang Datuk terajui cuba tonjolkan dengan kenyataan Datuk yang dirakam oleh media dalam isu ini.

Maaflah, kiranya saya katakan dalam keadaaan wujudnya ketebalan prejudis ke atas Islam ditambah pula dengan gejala dan fenomena Islamofobia di peringkat global khususnya di kalangan orang-orang bukan Islam, kenyataan Datuk dalam isu ini, bagi saya, maaflah, bukan mengurangkan atau meredakan sikit prejudis dan Islamofobia itu, sebaliknya ia makin menebalkan lagi rasa prejudis dan Islamofobia itu.

Dan jika itu berlaku, siapakah yang harus disalahkan? Sekali lagi maaf Datuk jika warkah ini mengganggu emosi Datuk.

Allah lebih mengetahui.


HANIPA MAIDIN ialah Anggota Parlimen Sepang dan seorang peguam.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS