Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan syarikat pelaburan milik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang baru ditubuhkan agar tidak menyimpang daripada perniagaan teras mereka.

Timbalan perdana menteri itu berkata, syarikat yang ditubuhkan pada 4 Ogos 2017 itu perlu memberikan tumpuan dalam usaha mengkomersilkan produk kajian perhutanan.

"Jangan terlalu pelbagaikan (pelaburan) dan jagan buat projek di luar perniagaan teras anda.

"Saya tak mau FRIM Inc akhirnya bina hotel, resort, beli hotel di luar negara (padahal) ia sepatutnya memelihara hutan.

"Syarikat sepatutnya memelihara binatang ternakan tetapi beli aset lain. Saya tak menyebut mana-mana organisasi tetapi jangan (berbuat demikian)," katanya ketika merasmikan bangunan FRIM Inc di Kepong, hari ini.

Antara skandal yang melanda Felda mutakhir ini adalah pembelian hotel di London oleh Felda Investment Coperation (FIC) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Syarikat pelaburan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Mara Inc, pula didakwa membeli blok pangsapuri pelajar di Melbourne, Australia, dengan harga yang lebih tinggi daripada nilai pasaran.

Zahid juga menggesa lembaga pengarah dan pengurusan FRIM Inc agar menjaga kepentingan rakyat dan kerajaan, bukannya peribadi.

"Masalah berlaku apabila perniagaan terlalu besar, tercetuslah sikap tamak untuk jaga kepentingan peribadi. Mereka rasa inilah masanya untuk rebut peluang buat diri dan keluarga.

"Apabila (kerajaan) benarkan penubuhan FRIM Inc, jangan ada kepentingan peribadai (yang terlibat). Jaga kepentingan jemaah, iaitu rakyat dan kerajaan," katanya lagi.

Banyak pihak sebelum ini menyatakan kerisauan terhadap pelaburan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan yang dibuat dengan jumlah yang besar, terutama pembelian aset yang tidak berkaitan dengan perniagaan mereka.

Terutama ketika skandal National Feedlot Corporation (NFC) kira-kira tujuh tahun lalu, dan mutakhir ini pembelian hartanah yang dibuat Felda dan MARA.

Lihat Komen
ADS