Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
11 suspek kes tipu jual beli tanah ditahan, kerugian lebih RM2 juta
Diterbitkan:  Feb 2, 2018 3:40 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Sebelas suspek kes penipuan jual beli tanah melibatkan kerugian berjumlah melebihi RM2 juta ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) pada 18 Januari lepas.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata suspek yang berumur 30 hingga 70 tahun itu ditahan di enam lokasi di sekitar Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak.

"Suspek berkenaan menjalankan operasi memperdaya mangsa dengan menghubungi mangsa untuk membincangkan mengenai tawaran harga hartanah kepada mangsa.

"Mereka kemudian bertindak menyamar sebagai broker dan tuan tanah, lantas menawarkan hartanah-hartanah yang tidak wujud dengan menunjukkan sijil-sijil palsu kepada mangsa.

"Mangsa yang terpedaya akan membeli tanah-tanah yang ditawarkan dengan harga murah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di ibunegara hari ini.

Amar berkata pihaknya turut merampas dokumen-dokumen berkaitan jual beli tanah, telefon-telefon pintar, kad-kad atm, laptop dan pelbagai cop nama.

“Kesemua suspek masih ditahan reman dan akan dituduh tidak lama lagi,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda.

Amar percaya dengan tertangkapnya dalang utama berusia 70 tahun itu, pihaknya dapat menumpaskan kegiatan sindiket itu, yang aktif sejak setahun lepas.

Beliau berkata sejak Januari 2017 hingga Januari lepas, pihaknya menerima 266 laporan polis berkaitan jual beli tanah melibatkan kerugian melebihi RM380 juta.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan urusan jual beli hartanah agar tidak terpedaya dengan tawaran yang dijanjikan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS